Anwar sokong pendirian Mahathir dan Muhyiddin desak Najib berundur

Anwar sokong pendirian Mahathir dan Muhyiddin desak Najib berundur

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong pendirian masyarakat sivil, parti politik dan individu termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan lain-lain untuk menggembleng kekuatan dan persefahaman bersama dalam usaha untuk mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak  berundur.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong pendirian masyarakat sivil, parti politik dan individu termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan lain-lain untuk menggembleng kekuatan dan persefahaman bersama dalam usaha untuk mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak  berundur.

Anwar dalam satu kenyataan  lewat malam ini berkata, persefahaman bersama ini ​akan​ menumpukan untuk menuntut perletakan jawatan Datuk Seri Mohd Najib Razak yang telah nyata gagal mentadbir negara.

“Beliau bertanggungjawab meneruskan tindakan-tindakan politik rakus, merosakkan institusi pemerintahan dan membebankan rakyat dengan kegawatan ekonomi yang berterusan.

“​Pada masa yang sama, tuntutan perubahan ini semestinya akan melibatkan reformasi institusi utama dalam negara yang sudahpun retak dan parah di bawah pentadbiran beliau.

“Selama ini kita mewakili suara nurani hati rakyat telah berikrar untuk memperjuangkan pengembalian hak rakyat di sebuah negara merdeka dan berdaulat,” katanya.

Tuntas dengan kesedaran ini ujarnya lagi, hak rakyat harus dikembalikan melalui sistem pilihanraya yang bersih serta badan kehakiman dan media yang bebas.

Dasar ekonomi harus diubah untuk mengutamakan semula usaha ke arah pertumbuhan yang segar dan pengagihan kekayaan yang saksama.

Anwar menyatakan, skandal 1MDB yang melibatkan Perdana Menteri adalah skandal terparah dalam sejarah dan turut menjejaskan imej negara.

Ini ujarnya hanya mungkin berlaku apabila terdapat pemusatan kuasa kepada seorang Perdana Menteri serta kegagalan institusi kewangan, keadilan dan penguatkuasaan menjalankan tugas dengan bebas.

“Kita juga telah belajar dari pengalaman sejarah bahawa peralihan kuasa yang bermakna ​bukanlah peralihan tokoh semata tetapi perubahan sistem.

“Justeru itu saya tegas menggesa rakan-rakan dan rakyat bersama dalam usaha ini tanpa membataskan ia sebagai agenda peribadi mahupun permusuhan peribadi. Kita harus merangka halatuju baru bagi menyelamatkan negara,” ujarnya.

TAGS