Apa ertinya jadi rakyat Malaysia tetapi tidak tahu bahasa Melayu, soal Perkasa

Apa ertinya jadi rakyat Malaysia tetapi tidak tahu bahasa Melayu, soal Perkasa

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Wira Perkasa Malaysia menyeru semua rakyat Malaysia supaya memahami peruntukan yang termaktub dalam perlembagaan terutama berkaitan taraf kewarganegaraan.

“Apalah ertinya warganegara Malaysia tidak tahu dan mahir dalam bertutur bahasa Melayu. Bagaimana nanti kita mahu menggambarkan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa tapi tidak dapat bertutur dalam bahasa Melayu?” soal Ketuanya, Irwan Fahmi Ideris dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas gesaan Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong) kepada kerajaan supaya memberikan taraf kewarganegaraan kepada kira-kira 100,000 orang Cina yang menetap di negara ini, beliau menegaskan tuntutan itu tidak perlu dilaksanakan jika tidak mengikut perlembagaan negara.

Baru-baru ini, Presiden Hua Zong, Tan Sri Pheng Yin Huah dilapor berkata, kebanyakan mereka terbabit adalah golongan tua yang kerap gagal ketika melalui temu duga akibat masalah bertutur dalam bahasa Malaysia.

Irwan merujuk kepada kepada Perkara 16 Perlembagaan Persekutuan berkaitan kewarganegaraan melalui pendaftaran iaitu orang yang dilahirkan di Persekutuan sebelum Hari Merdeka.

Menurut peruntukan itu, terdapat empat syarat untuk mana-mana individu berusia 18 tahun ke atas dan dilahirkan di Persekutuan sebelum Hari Merdeka berhak didaftarkan sebagai warganegara iaitu bermastautin dalam tempoh tujuh tahun, berniat hendak berbuat demikian secara tetap; berkelakuan baik dan mempunyai pengetahuan asas bahasa Melayu.

“Jadi jika merujuk kepada perkara yang termaktub dalam perlembagaan negara, adakah semua yang disebut telah dipatuhi? Jika tidak bagaimana kerajaan dapat meluluskan permohonan mereka.

“Jika ya, mereka harus melalui prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Bukan hanya melepasi sebahagian perkara yang disebut sahaja dalam perlembagaan.

“Kesemua perkara yang termaktub ini dibuat demi menjaga kedaulatan negara Malaysia dan bukanlah menguntungkan pihak tertentu sahaja,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Irwan berkata, umum mengetahui mana-mana negara pasti akan mengutamakan pengetahuan dan kemahiran dalam bahasa di negara masing-masing.

“Dalam perkara ini yang paling penting adalah pengetahuan dalam bahasa Melayu. Jika tidak ada pengetahuan bagaimana dengan mudah mereka mendapat kerakyatan negara ini,” tegasnya lagi.

TAGS