Apa yang  Malaysia boleh belajar dari Aksi Super Damai 212

Apa yang Malaysia boleh belajar dari Aksi Super Damai 212

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Jumaat, tanggal 2 Disember 2016 telah mencatatkan suatu sejarah demokrasi khususnya bagi rakyat Republik Indonesia(RI). Sekitar 1 juta orang umat Islam telah berkumpul di Monumen Nasional(Monas) mengadakan demontrasi membantah kebiadapan lisan calon Gubenor DKI Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama(Ahok) semasa berkempen.

Ahok, seorang penganut Kristian Khatolik, dalam suatu ceramahnya di hadapan warga Jakarta yang beragama Islam telah meminta supaya pengundi-pengundi Islam mengenepikan maksud ayat 51 Surah Al Maidah semasa membuang undi mereka pada Pilkada Gubenor DKI Jakarta nanti.

Terjemahan ayat tersebut adalah “ Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin(mu). Sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. Barang siapa di antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang zalim”.

Ucapan Ahok tersebut telah menimbulkan kemarahan umat Islam Indonesia. Pemimpin-pemimpin pertubuhan-pertubuhan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan(Ngo-Ngo) Islam telah membantah ucapan Ahok itu dan menyimpulkannya sebagai sebagai suatu penistaan terhadap ajaran agama Islam. Mereka menuntut Ahok dibicarakan di Mahkamah Pengadilan Indonesia.

Dalam Pilihan Kapala Daerah(Pilkada) DKI Jakarta yang jatuh pada 15 Februari 2017 itu nanti, terdapat tiga regu calon-calon Gubernor dan Wakil Gubenor. Regu pertama dengan nombor urut 1 adalah Agus H Yudhoyono sebagai calon Gubenor dan Sylviana Murni sebagai calon Wakil Gubenor . Regu pertama ini didukung oleh Partai Demokrat, Partai Persatuan Pembangunan(PPP), Partai Kebangkitan Bangsa(PKB) dan Partai Aamanah Nasional(PAN). Calon Gubenor adalah anak lelaki kepada mantan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono(SBY).

Regu kedua dengan nombor urut 2 adalah Basuki Tjahaja Purnama(Ahok) sebagai calon Gubenor dan Djarot Saiful Hidayat sebagai calon Wakil Gubenor. Regu kedua ini didukung oleh Partai Demokrat Indonesia Perjuangan(PDIP), Partai Golongan Karyawan(Golkar), Partai Hati Nurani Rakyat(PHNR) dan Partai Nasional Demokrat(PND). Pada waktu ini, Ahok adalah penyandang jawatan Gubenor DKI Jakarta itu.

Regu ketiga dengan nombor urut 3 adalah Anies Baswedan sebagai calon Gubenor dan Sandiago Uno sebagai calon Wakil Gubenor. Regu ketiga ini didukung oleh Partai Gerindera dan Partai Keadilan Sosial(PKS). Anies Baswedan adalah mantan Menteri Pendidikan.

Kesilapan dan keceluparan lisan Ahok itu telah membuahkan beberapa siri demontrasi jalanan dan kemuncaknya adalah pada 2 Disember 2016 lalu. Jutaan warga Islam Indonesia datang dari seluroh Negara ke Jakarta, semata-mata untuk turut serta dalam demontrasi besar-besaran mempengaruhi pemerintah ,khususnya Presiden Jokowi agar mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahok.

Seperti dimaklumi, sebelum memenangi pilihan raya Presiden Republik Indonesia, Jokowi dan regunya Ahok telah memenangi Pilkada DKI Jakarta. Setelah terpilih sebagai Presiden Republik Indonesia, Jokowi terpaksa melepaskan jawatan Gubenor DKI Jakarta dan Ahok secara otomatik naik menjadi Gubenor DKI Jakarta. Ahok bukan dipilih oleh rakyat sebagai Gubenor. Ahok sekadar bernasib baik kerana Jokowi melepaskan jawatan itu. Inilah kali pertama Jakarta mempunyai Gubenor dari keturunan Cina, walau pun masyarakat Cina hanya sekitar 3 % dari penduduk Jakarta. Dalam Pilkada Gubenor DKI Jakarta yang lalu, masyarakat Islam memenangkan Jokowi dan regunya Ahok kerana Gubenornya masih orang Islam disamping mereka berdua didukung oleh PDIP dan Parti Geriendra. Jelasnya Ahok adalah dari parti yang memerintah Republik Indonesia waktu ini. Kalau dibandingkan dengan Malaysia, Ahok adalah orang BN. Jawatan Gubenor itu pula umpama Raja atau Sultan atau Yang DiPertua Negeri . Tetapi di Republik Indonesia(RI), jawatan Gubenor ini dipilih oleh rakyat.

Awalnya , pemerintah RI dilihat berdiam diri dan tidak mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahok. Alasan yang tersirat adalah Ahok sedang bertanding untuk jawatan Gubenor DKI Jakarta dan dia adalah calon parti pemerintah. Namun demikian, begitulah demokrasi RI, suara hati nurani rakyat masih tetap terbela dan agensi-agensi pemerintah beroperasi secara professional dan mengikut undang-undang dan perlembagaan RI. Sesiapa yang telah melanggar undang-undang tidak akan dilindungi oleh pemerintah walau pun individu itu orang besar parti pemerintah. Presiden tidak akan mempengaruhi badan-badan penegak hukum dan pegawai-pegawai yang menjalankan tugas mereka secara telus, bebas dan berintergriti.

Sebelum ini pun kita telah mendengar bahawa ramai daripada Gubenor-Gubenor Provinsi, Walikota, Bupati dan Ahli-Ahli Majlis Perwakilan Rakyat(MPR @Ahli Parlimen) telah dipenjarakan kerana rasuah dan menyalahgunakan kuasa. Hatta mantan Presiden Suharto pun telah didakwa atas beberapa kesalahan !Begitulah kehadapannya demokrasi RI. Mampu kah Malaysia berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah atas isu demokrasi dengan RI? Tepuklah dada kita dan tanyalah selera kita !

Sebenarnya terdapat suatu perkara lagi yang cukup menarik untuk dibincangkan ekoran daripada Aksi Damai 212 itu . Pada awalnya inisiatif yang diambil oleh NGO-NGO Islam adalah untuk mengadakan unjuk rasa(demontrasi) berskala besar di kawasan Monumen Nasional(Monas), Jakarta membantah kelewatan pemerintah membuat pendakwaan terhadap Ahok. Seruan untuk berdemontrasi berskala besar ini memang amat tidak diingini oleh pemerintah RI. Kalau tidak ditangani dengan bijaksana, ianya boleh berakhir dengan rusuhan perkauman, melumpuhkan Kota Raya Jakarta, merosakkan harta benda, mungkin melibatkan kehilangan nyawa rakyat RI dan tumbangnya Kerajaan Presiden Jokowi.

Di atas kebijaksnaan Presiden Jokowi sendiri, pemerintah RI telah memilih untuk bersama-sama dengan rakyat menangani isu Ahok itu. Hasil siasatan Polis Republik Indonesia(POLRI) dan mengambil kira pandangan tokoh-tokoh Agama Islam, akhirnya Ahok menjadi tersangka Penistaan Agama. Pendakwaan ke atas Ahok ini telah mengendurkan ketegangan hubungan antara rakyat dan pemerintah. Bukan itu sahaja, Presiden Jokowi sendiri berusaha mengadakan Program Aksi Damai 212 di Monas pada hari Jumaat lalu(2.12.2016).

Seluruh rakyat yang mulanya datang dengan emosi marah untuk berdemontrasi terhadap keceluparan lisan Ahok telah bertukar menjadi rakyat yang berdisiplin dan tidak merusuh di jalanan. Presiden Jokowi dan Wakil Presiden, Djusuf Kalla telah turun sendiri bersama-sama jutaan rakyat beragama Islam memberikan pidato dalam hujan lebat. Selanjutnya semua yang hadir mengerjakan solat Jumaat berjamaah di kawasan Monas. Dikhabarkan jumlah jamaah Solat Jumaat itu melebihi 1 juta orang!

Polri dan Tentera Nasional Indonesia(TNI) telah memberikan kawalan keselamatan, pengawalan lalulintas dan mengawal unsur-unsur provakator pada Jumaat itu. Hasilnya demontrasi Jumaat itu berjaya sebagai Aksi Super Damai 212!

Dalam hal menangani hak rakyat Negara ini(Malaysia) untuk meluahkan rasa tidak puas dan menyuarakan pendapat yang sememangnya termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Perhimpunan Awam 2002(The Peaceful Assembly Act 2002), Kerajaan BN dan PDRM sewajarnya belajar dengan rakan mereka di RI.

Demontrasi jalanan aman seperti BERSIH 5 sememangnya boleh dimunculkan sekiranya kita bijaksana menanganinya secara professional dan telus tanpa sebarang unsur-unsur provokator yang sememangnya dirancang dengan niat jahat. Tidak ada rakyat Malaysia yang waras akal fikirannya mengimpikan suasana huruhara dan tidak stabil dalam Negara tercinta ini. Belajar daripada pengalaman orang lain itu bukanlah sesuatu yang memalukan dan menjatuhkan martabat kita. Mengambil manafaat daripada pengalaman orang lain itu memang dituntut oleh Agama Islam.

 

 

CATEGORIES
TAGS