Arahan ‘pihak atasan’ tidak gagalkan majlis makan malam Amanah Terengganu

Arahan ‘pihak atasan’ tidak gagalkan majlis makan malam Amanah Terengganu

Amanah Terengganu kesal terhadap tindakan 'pihak atasan' yang tidak membenarkan majlis makan malam parti itu diadakan di Primula Hotel, Kuala Terengganu namun program sempena setahun Amanah negeri itu tetap diteruskan pada tarikh dan masa yang sama di Terengganu Equestrian Resort, Kuala Ibai.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu kesal terhadap tindakan ‘pihak atasan’ yang tidak membenarkan majlis makan malam parti itu diadakan di Primula Hotel, Kuala Terengganu.

Pengerusinya Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, pihak hotel cuma memaklumkan ia adalah arahan ‘pihak atasan’ yang disifatkannya sebagai ‘arahan politik’.

Bagaimanapun majlis bagi meraikan setahun penubuhan Amanah di negeri itu akan tetap diadakan di Terengganu Equestrian Resort di Kuala Ibai pada tarikh dan waktu yang sama.

“Kami amat mengesali pembatalan (cadangan) asal kami untuk mengadakan Jamuan makan malam di Perimula Hotel yang telah digagalkan oleh pihak berkuasa di saat akhir.

“Kami mohon maaf kepada mereka yang telah menempah meja kerana terpaksa mengadakan jamuan tersebut ke Terengganu Equestrian Resort (TER) di Kuala Ibai pada tarikh asal,” katanya.

Raja Baharin turut mengaitkan ‘arahan politik’ itu ada kaitan dengan Umno Terengganu.

“Ini amat tidak patut dilakukan dalam negara yang sepatutnya mengamalkan demokrasi di mana rakyat sepatutnya boleh menjalankan aktiviti aman harian mereka tanpa gangguan pihak berkuasa. Ini berlaku di saat Umno Terengganu mengalami krisis dalaman yang berterusan,” katanya lagi.

Beliau berkata, Amanah diterima baik oleh rakyat Terengganu dalam usaha mereka memerangi penyelewengan dan salah guna kuasa kerajaan Umno-BN.

“Kenaikan kos sara hidup yang tidak terkawal saperti kenaikan harga petrol, harga minyak masak dalam masa GST telah membebankan rakyat dan amat dikesali.

“Bajet 2017 telah memotong lagi peruntukan pendidikan sebanyak 20% iaitu meningkat dari potongan 17% pada tahun lepas.

“Ini tidak memberi harapan yang baik untuk masa depan generasi anak muda kita. Nasib golongan nelayan pula masih tidak terbela dengan masalah-masalah lama mereka saperti pencerobohan perairan Malaysia dan kemusnahan perangkap ikan nelayan oleh nelayan warga asing masih berterusan tanpa peruntukan baru mengatasi isu lama ini,” katanya yang juga ahli parlimen Kuala Terengganu.

TAGS