Armada Bersatu gesa kerajaan kaji semula penarikan elaun pelajar IPG

Armada Bersatu gesa kerajaan kaji semula penarikan elaun pelajar IPG

Kerajaan digesa agar mengkaji penarikan elaun sara hidup dan perjalanan kepada guru pelatih  mulai Jun 2018 kerana ianya pasti membebankan mahasiswa-mahasiswa Institut Pendidikan Guru (IPG) dalam meneruskan pengajian dan menjadi insan berjasa buat bangsa dan negara selaku golongan pendidik tanahair.

Exco Pendidikan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)  Mohd Asyraf Mustaqim Badrul Munir (Gambar kiri) berkata, cadangan kementerian pendidikan dakwaya, tidak masuk akal apabila sistem pendidikan negara menjadi mangsa sedangkan pendidikan penting dalam pembinaan dan pembangunan masyarakat.

“Armada kesal dengan langkah ini biarpun pihak kami ambil maklum mengenai cadangan ini telah dibincangkan sekian lama. Sebelum elaun sara hidup PISMP (Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan) dan PPISMP (Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan) diselaraskan pada kadar RM430 sebulan dengan ‘mahasiswa’ PISMP menerima elaun tambahan bagi perjalanan pada jumlah maksima sebanyak RM500.

“Jumlah elaun bagi PISMP pada asalnya lebih tinggi mengikut zon iaitu RM700 bagi Zon A dan RM595 bagi Zon B. Namun jumlah ini diselaraskan pada RM430 atas alasan usaha “Kementerian Pendidikan Malaysia mengoptimumkan penggunaan resos melalui meningkatkan keberkesanan kos bagi latihan guru praperkhidmatan di IPG” dan ‘kononnya’ dalam masa yang sama turut ingin “memastikan bahawa semua ‘mahasiswa’ IPG mendapat bantuan elaun sara hidup,” ujarnya dalam kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan, dibuat  Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon pada Jumaat  yang  dilaporkan berkata, kerajaan akan menghentikan elaun sara hidup dan perjalanan kepada guru pelatih mulai Jun tahun depan.Guru pelatih disaran memohon pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi menampung keperluan hidup mereka.

Justeru menurut Mohd Asyraf Mustaqim lagi, berdasarkan daripada surat balas Timbalan Rektor IPG Malaysia Dr. Noriati A. Rashid bertarikh 3 Mac 2017 di Kementerian Pendidikan menjawab rayuan pihak NUTP untuk kadar elaun ‘mahasiswa’ dapat dikekalkan, namun ujarnya, semua pernyataan di atas adalah retorika semata.

“Kini kerajaan ingin mengambil langkah dengan menghentikan pemberian elaun kepada ‘mahasiswa’ PISMP IPG secara total. Kenapa hal ini berlaku?

“IPG yang merupakan gedung dalam melahirkan golongan pendidik. Namun dibebani perjalanan pengajian mereka untuk berbakti buat anak bangsa dan ini jelas bahawa kerajaan Najib Razak mengambil enteng perihal ini,” katanya.

Mohd Asyraf Mustaqim  memberitahu,  Armada dimaklum bahawa beberapa elaun lain seperti elaun buku dan elaun praktikum telahpun dimansuhkan.

“Hairan perkara ini terjadi kerana ambilan ‘mahasiswa’ IPG kini semakin berkurangan.

“Apatah lagi selepas Bajet 2017 yang lalu. Kerajaan memutuskan untuk menutup 11 buah IPG dari 27 buah IPG sedia ada dengan 9 buah darinya menjadi Politeknik atau Kolej Vokasional manakala 2 lagi dijadikan Pusat Permata!

“Perlu diingatkan bahawa ‘Bajet Program Permata’ adalah dibawah Jabatan Perdana Menteri yang menyaksikan peningkatan bajet melebihi 100% pada bajet 2017 berbanding tahun 2016 dengan pemberian bajet sebanyak RM36.3 juta bagi tahun 2016 kepada RM85 juta bagi tahun 2017. Seharusnya bajet Permata wajib diserapkan untuk membantu menampung kos ‘mahasiswa’ IPG!

“Malah kerajaan Najib Razak nyata lebih tidak bertanggungjawab dan menjuarai aspek menyusahkan rakyat apabila dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat.

” Malah apabila bajet pendidikan itu sendiri dikurangkan dalam keadaan pihak sekolah tidak mampu memberikan ‘gaji’ kepada guru pelatih dengan terpaksa membiayai bermacam-macam kos operasi di peringkat pengurusan sekolah.

“Menteri kerajaan di bawah Najib Razak dengan semberono sahaja mencadangkan agar ‘mahasiswa’ IPG , yang seharusnya diberikan elaun untuk mendapatkan pinjaman PTPTN bagi membiayai kos sara hidup.

“Ini akan lebih membebankan golongan anak muda khususnya. Jika tanpa elaun, hampir 30% mahasiswa seluruh IPG dikatakan tidak mampu menanggung kos hari demi hari proses menamatkan pengajian mereka! Khususnya belanja perjalanan pergi balik ke sekolah dan perbelanjaan bagi kos sara hidup sehari-hari. Dan melalui PTPTN ianya akan lebih teruk kerana ‘mahasiswa’ dibebani hutang.

“Ingatlah, tugas kerajaan adalah menyediakan prasarana serta kemudahan bukannya potong bajet dan suruh rakyat berjimat malah berhutang, sedang duit yang dibelanjakan entah ke mana. Hari ini begitu banyak cukai yang dikenakan dengan GST mencatatkan keuntungan sehingga RM39bilion tetapi rakyat tetap terus terbeban menderita,” ujarnya.

TAGS