ASEAN perlu data tunggal bantu tentukan peluang, cabaran

ASEAN perlu data tunggal bantu tentukan peluang, cabaran

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Negara-negara anggota ASEAN perlu melaksanakan data tunggal yang terdiri daripada pelbagai maklumat untuk membantu rantau ini mengenal pasti peluang dan cabaran yang perlu ditangani.

“Melalui penggunaan data tunggal, kita dapat memberitahu satu cerita dengan menyeluruh,” kata Ketua Pengarang Businessworld yang berpangkalan di Filipina, Roberto Jose Alampay.

Beliau berkata demikian pada Sidang Kemuncak Editor ASEAN 2016 yang julung kali diadakan dan merupakan anjuran bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Sekretariat ASEAN di sini Selasa.

Alampay adalah antara penceramah pada sesi bertajuk, ‘Memacu Integrasi Ekonomi ASEAN’ yang dikendalikan oleh Pengerusi Forum Perniagaan Global Malaysia, Datuk Yong Soo Heong.

Beliau berkata terdapat banyak data yang boleh didapati pada masa ini dan ditumpukan kepada setiap pasaran yang disediakan oleh sektor awam dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan, agensi dan lain-lain.

Alampay berkata pengumpulan semua data itu penting bagi ASEAN untuk mencapai sasaran integrasi ekonominya.

Pada masa sama, data yang dihasilkan itu perlu disusun dalam bentuk digital dan boleh diakses oleh mereka yang memerlukan maklumat seperti kerajaan, penyelidik, wartawan dan masyarakat secara amnya.

ASEAN merupakan ekonomi ketujuh terbesar di dunia pada 2014 dengan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar sebanyak US$2.57 trilion, hampir dua kali ganda angka pada 2007 iaitu sebanyak US$1.33 trilion.

— BERNAMA

CATEGORIES