Amanah kesal kemenangan atlet paralimpik tiada siaran langsung

Amanah kesal kemenangan atlet paralimpik tiada siaran langsung

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Dalam meraikan kemenangan emas atlet paralimpik Malaysia di Rio, Amanah Melaka melahirkan kekesalan kerana detik kemenangan dua jaguh atlet paralimpik negara itu tidak disiarkan secara langsung oleh mana-mana stesen televisyen di negara ini.

Naib Pengerusiya Mohd Sofi Abdul Wahab berpendapat, sukan Paralimpik adalah bertaraf dunia sama seperti Sukan Olimpik.

“Sukan Paralimpik bertaraf dunia sama seperti Sukan Olimpik. Dikhabarkan pemenang pingat emasnya seperti juga pemenang pingat emas Sukan Olimpik akan mendapat ganjaran RM1 juta dan imbuhan lain.

“Maknanya tidak ada beza antara dua sukan ini. Bezanya hanya peserta dan ahli sukannya. Saya sedikit kesal kerana di saat jaguh sukan negara menggondol tiga pingat emas pada Sukan Paralimpik tiada siaran langsung.

“Ketika lagu negaraku berkumandang megah serta bendera keramat jalur gemilang dinaikkan tiada stesyen Televisyen yang sudi menyiarkannya secara langsung,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru beliau mempersoalkan ketidak adilan tersebut berlaku sehingga atlet paralimpik di Rio tidak diberikan peluang sama rata dalam stesyen televisyen di negara ini.

“Apakah ada ‘double standard’. Tidakkah kita semua berasa megah dengan kejayaan atlet paralimpik kita. Bukankah mereka juga berjaya menjulang nama negara di persada dunia.

“Mungkin semua pihak terleka atau memandang rendah terhadap kejayaan atlet kita ini. Diharapkan pada masa akan datang tidak berulang lagi.

“Ingatkan kita semua bagaimana rakyat Malaysia pernah menderma duit mereka sendiri untuk menaja siaran langsung Piala Dunia Bolasepak di era 80-an dahulu.

“Saya yakin rakyat Malaysia sanggup melakukan perkara sama atas semangat patriotik dan dorongan kepada atlet kita.

“semoga perkara sebegini tidak terlepas pandang pada masa akan datang. Jika RTM berupaya menayangkan siaran langsung untuk Sukan Olimpik mengapa tidak untuk Sukan Paralimpik,” ujarnya.

Pada acara Temasya sukan berprestij dan terbesar untuk atlet kurang upaya, Sukan Paralimpik Rio de Janeiro pada 8 September lalu, membabitkan 4,300 atlet dari 161 buah negara, termasuklah 21 atlet paralempik Malaysia yang telah menyertai lapan daripada 23 acara sukan yang dipertandingkan.

Pingat emas pertama dimenangi oleh Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi  dalam acara 100m T36 (celebral palsy). Dan tidak lama kemudian, pingat emas kedua diraih melalui Muhammad Ziyad Zolkefli dengan rekod baharu dunia dalam acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran) dan Abdul Latif Romly, menghadiahkan pingat emas ketiga dalam acara lompat jauh kategori T20 (kurang upaya intelektual).

Bagi temasya Sukan Olimpik di Rio  ini Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin telah menaikan insentif kemenangan kepada atlet paralempik sama sebagaimana atlet Olimpik negara. 

Pemenang pingat di Sukan Paralimpik Rio bakal menerima Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) dan Skim Imbuhan Tetap Olimpik (SITO) yang sama iaitu pemenang pingat emas bakal meraih RM1 juta dan pencen bulanan RM5,000. Sementara itu, pemenang pingat perak akan menerima RM300,000 dan pencen bulanan RM3,000 sementara insentif RM100,000 dan pencen bulanan RM2,000 kepada pemenang pingat gangsa.

TAGS