Awan Nasional prihatin nasib rakyat Sabah

Awan Nasional prihatin nasib rakyat Sabah

Angkatan Wanita AMANAH (AWAN) Nasional dalam rangka kerja menziarahi negeri Sabah pada 13 Ogos lalu, melahirkan rasa prihatin mereka terhadap nasib rakyat Sabah, khususnya penduduk di Batu Sapi.

Rombongan AWAN Nasional diwakili oleh Norhayati Bachok, Naib Ketua AWAN Nasional bersama lima orang anggota AWAN Sabah telah menziarahi beberapa buah kampung di sekitar Parlimen Batu Sapi iaitu Kampung Gas, Bukit Nenas dan Kampung Tabah Baru.

Di dalam ziarah itu, Norhayati mensifatkan nasib rakyat negeri Sabah seharusnya lebih baik daripada apa yang dikecapi mereka pada hari ini. Semasa ceramah kelompok di Kampung Gas, Norhayati merasa terkejut kerana masih ada rakyat yang tidak dibela nasib mereka.

“Kami terkejut melihat kedaifan rakyat negeri Sabah serta pembangunan kawasan-kawasan yang tidak sekata di Sabah. Tidak seharusnya negeri yang kaya dengan sumber tetapi rakyat menderita seperti ini. Rakyat Sabah berhak mendapat lebih daripada apa yang mereka dapat pada hari ini,” ujarnya dalam kenyataan.

{loadposition myposition} Meninjau perkampungan di atas air di Kampung Gas dan Kampung Tabah Baru, Norhayati turut melahirkan kerisauan terhadap keadaan tiang-tiang rumah serta jambatan yang menghubungkan antara rumah-rumah di perkampungan itu.

“Sepatutnya perumahan kampung air perlu penstrukturan semula dan dipertingkatkan kualitinya. Kampung air seperti Kampung Gas ini boleh menjadi salah satu tarikan malah ianya juga boleh menjadi satu identiti yang unik di Sabah. Kita lihat di Brunei bagaimana mereka menjaga identiti rumah kampung air dan rumah-rumah tersebut dibina dengan baik sekali”

“Jambatan yang semakin usang ini tidak selamat kepada orang-orang kampung. Kita risau kalau anak-anak berlari, tiba-tiba sahaja jambatan ini roboh. Saya dengar sudah ada dua tiga kes juga yang ada rumah di atas air ini roboh akibat tiang yang tidak berkualiti dan pembinaan yang tidak cekap dibuat. Kerajaan sepatutnya lebih prihatin akan isu ini kerana rumah adalah hak rakyat dan tempat bermulanya sebuah keluarga yang akan membina masyarakat serta negara yang baik,” ujarnya.

Selain daripada ziarah ke kampung-kampung, satu kuliah dhuha bertajuk “Keluarga Bahagia Hingga Syurga Allah” telah disampaikan kepada kaum wanita di Pusat Pengajian Siti Khadijah. Kuliah itu telah disampaikan oleh Puan Anfaal Saari, yang juga merupakan Naib Ketua AWAN Nasional dan pengarang buku “Bahagia Bukan Gembira”.

AWAN Nasional juga turut menyalurkan sumbangan berupa barangan dapur kepada 30 keluarga yang miskin di sekitar Parlimen Batu Sapi.

Awan Nasional Sabah 1

CATEGORIES
TAGS