Awan Sabah kecam tindakan penahanan Maria Chin

Awan Sabah kecam tindakan penahanan Maria Chin

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Sakinah MarsusAhli Jawatankuasa Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) Sabah, Sakinah Marsus menyatakan bahawa, penahanan mengejut Pengerusi NGO Bersih 2, Maria Chin Abdullah pada 18 November lalu di pejabat Bersih Kuala Lumpur adalah suatu tindakan bermotifkan politik diktator yang bersifat zalim dan tidak wajar dilakukan sama sekali.

Maria Chin, 60 tahun, ditahan dibawah akta drakonian, Akta Kesalahan Keselamatan (langkah-langkah khas) Akta 2012 ataupun lebih dikenali sebagai Sosma.

“Umum mengetahui bahawa tujuan SOSMA diwujudkan adalah untuk menangani gejala ekstremisme, keganasan ataupun berhubung dengan kesalahan keselamatan. Ringkasnya, akta ini adalah untuk membendung aktiviti seseorang ataupun kumpulan yang mahu menggulingkan, melemahkan ataupun mengancam keselamatan negara”, katanya.

Sakinah turut menyatakan Maria Chin adalah seorang aktivis sosial dan menafikan dakwaan pihak berkuasa yang menganggap Maria sebagai pengganas atau penjenayah.

“Maria adalah seorang aktivis sosial, beliau bukan seperti yang dimomokkan pihak penguasa sebagai seorang penjenayah atau pengganas negara yang mengancam keselamatan mana-mana pihak. Beliau merupakan seorang pengerusi sebuah badan bukan kerajaan, NGO Bersih, yang mahukan pilihanraya yang telus dan adil secara asasnya, disamping tuntutan-tuntutan yang lain lagi”, ujarnya.

“Tambahan pula, semua tuntutan itu disuarakan melalui perhimpunan aman yang sudah dijamin di dalam artikel 10 perlembagaan negara kita. Justeru, dapat kita lihat dan nilai sendiri bahawa segala tindakan beliau adalah tidak bertepatan sama sekali dengan definisi sebenar Sosma” jelasnya terperinci.

Menurut Sakinah, penahanan Maria sekaligus menunjukkan bahawa pihak penguasa sedang menafikan hak berhimpun dan kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Dalam pada itu, pihak kerajaan juga telah menafikan hak asasi tahanan apabila Maria ditahan di dalam penjara yang terlalu daif dan serba kekurangan.

Menurut Sakinah lagi, sel di mana Maria ditempatkan tidak sesuai dengan seorang warga emas seperti Maria.

“Kami difahamkan Maria ditahan di dalam sel yang gelap, diasingkan daripada tahanan lain dan kondisi sel yang tidak mempunyai kemudahan yang lengkap seperti katil mahupun tilam. Malah beliau terpaksa membersihkan diri dengan air sejuk dan ditahan selama 28 hari untuk disoal siasat”, katanya.

“Puan Maria Chin adalah seorang insan yang berjiwa besar, berani memperjuangkan ketelusan dan keadilan pilihanraya serta teguh memperjuangkan hak-hak rakyat. Lantas dimana silapnya. Sedangkan yang membawa keganasan, ugutan serta mengancam keselamatan awam secara terang-terangan, tidak pula ditahan malah sehingga sekarang masih bebas”, ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Awan Sabah menyeru kepada seluruh rakyat Sabah agar bersolidariti untuk Maria atas dasar kemanusiaan dan semangat melawan penindasan serta kezaliman yang dilakukan oleh pihak berkuasa. Solidariti ini akan memberi mesej yang jelas kepada pihak penguasa bahawa rakyat menolak SOSMA digunakan dinegara ini.

“Sekali lagi, kami mendesak pihak yang terbabit supaya membebaskan beliau dengan kadar segera tanpa syarat” tegasnya.

TAGS