Awan Sabah ucap tahniah Jannie Lasimbang menang bicara kes Bersih 4

Awan Sabah ucap tahniah Jannie Lasimbang menang bicara kes Bersih 4

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ketua Wanita Amanah Sabah, Sakina Marsus mengucapkan rasa syukur dan tahniah kepada mantan Pengerusi Bersih Sabah, Jannie Lasimbang yang pada Selasa lalu bebas daripada pertuduhan melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012,  sekaligus meraih kemenangan rakyat dan demokrasi di negara ini.

“Tahniah diucapkan kepada Jannie atas kejayaan menang perbicaraan tersebut. Selama setahun lebih kes ini dibicarakan, kita melihat usaha keras dan semangat beliau yang sangat tinggi.

“Terbukti, beliau seorang ‘wanita besi’ yang begitu berharga buat warga Sabah, khususnya buat rakan-rakan seperjuangan beliau dalam menegakkan keadilan undang-undang dan perlembagaan negara”, ujarnya dalam satu kenyataan.

Jannie Lasimbang yang  menang dalam perbicaraannya  didakwa melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012 selepas menganjurkan Himpunan Bersih 4 di Kota Kinabalu, 28 dan 29 Ogos tahun lalu.

Menurut beliau, Awan Sabah juga melahirkan rasa gembira dengan sikap dan kredibiliti pihak Majistret dalam kes seumpama ini.

“Dengan dakwaan yang tidak tepat, amatlah wajarlah keputusan mahkamah membatalkan dakwaan tersebut. Lebih-lebih lagi, pihak pendakwa telah gagal mengemukakan ‘prima facie’ bagi kes ini yang kononnya lokasi perhimpunan tersebut adalah hak milik Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK). Walhal, tempat-tempat awam sebenarnya adalah hak milik awam bersama, bukan DBKK,”ujarnya.

Sakinah menambah, Jannie disabitkan tidak bersalah dan bebas daripada dua pertuduhan di bawah Akta Perhimpunan Aman. Tuduhan Seksyen 9(5), iaitu gagal menyerahkan notis 10 hari bagi kedua-dua hari himpunan serta Seksyen 15(3), iaitu menganjurkan himpunan tanpa memenuhi semua keperluan yang disenaraikan pihak polis DBKK.

“Alhamdulillah, bukan sekadar dibebaskan,bahkan Majistret juga mengarahkan wang ikat jamin beliau dikembalikan. Akhir sekali, Majistret menyatakan bahawa notis 10 hari sebenarnya tidak perlu sekiranya mana-mana pihak mengadakan perhimpunan aman di tempat-tempat yang digazetkan sebagai awam (Seksyen 9(2) di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012)”, ujar beliau.

Selain itu katanya, kemenangan ini menunjukkan aspirasi rakyat tetap terjunjung. Hak rakyat untuk berhimpun secara aman serta kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat masih terpelihara. Undang-undang dan perlembagaan negara masih terpakai untuk melindungi rakyat dan Negara daripada penguasa-penguasa korup serta mengamalkan politik kotor dan pendakwaan terpilih.

Tambahnya, kes ini mampu menjadi rujukan utama bagi para aktivis yang mahu menganjurkan himpunan aman selepas ini.

“Pihak penguasa tidak mampu lagi menakut-nakutkan rakyat yang mahu berhimpun, bersuara menyatakan pendapat atau bantahan ke atas tindakan-tindakan penguasa atau polisi-polisi negara yang jelas memburukkan nasib rakyat”, tegas Sakinah.

Akhir sekali, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua yang setia memberi sokongan dan solidariti untuk Jannie.

“Tahniah diucapkan kepada semua rakan perjuangan, tidak kira parti, NGO, mahu pun para aktivis serta seluruh rakyat yang menyokong perjuangan Jannie. Tidak ketinggalan para peguam yang sangat berdedikasi dan konsisten membela nasib pejuang rakyat seperti Jannie”, ulas beliau.

TAGS