Ayah janji beli baju raya, kata anak sulung Allahyarham Mejar Yazmi

Ayah janji beli baju raya, kata anak sulung Allahyarham Mejar Yazmi

Janji ayahnya untuk membelikan baju raya apabila pulang setelah menjalankan tugas merupakan kata-kata terakhir Mejar Yazmi Mohamed Yusof , 39, kepada anak sulungnya Mikhail Adam Riaz, 11, sebelum terkorban dalam nahas pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Hawk 108 di Chukai, Terengganu ketika menjalani sesi latihan pagi tadi.

Mikhail yang merupakan anak sulung daripada enam beradik ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini berkata, beliau tidak menyangka solat berjemaah selepas bersahur awal pagi itu merupakan detik-detik akhir mereka sekeluarga bersama.

“Selepas sahur kami bersolat Subuh bersama-sama dan ayah menjadi imam seperti biasa setiap kali balik ke Kuantan. Itu kali terakhir saya berjumpa ayah sebelum menyambung tidur.

“Beliau tidak ada pesan atau apa-apa perangai pelik dan yang saya perasan cuma dia ada kata hendak membawa adik beradik membeli baju raya untuk menyambut Aidilfitri,” katanya.

  Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima lawatan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah.

Menurutnya, dia hanya mengetahui kejadian malang yang menimpa ayahnya itu melalui panggilan telefon kira-kira pukul 1 tengah hari tadi.

Walaupun sedih dengan kejadian berkenaan terutama apabila mengenangkan Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang tidak lama lagi, Milkhail tetap menanam cita-cita untuk mengikut jejak langkah ayahnya sebagai juruterbang pesawat pejuang.

Sepanjang berada di perkarangan Unit Forensik HTAA, Mikhail beberapa kali tidak dapat menahan rasa sedih dan menangis sehingga terpaksa dipujuk oleh Tunku Azizah yang turut tersentuh perasaan dengan keadaan itu.

Keadaan itu menyebabkan anggota keluarga yang hadir di perkarangan Unit Forensik berkenaan tidak dapat menahan perasaan sedih dan turut mengalirkan air mata.

Dua juruterbang pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) jenis Hawk 108 Mejar Yazmi Mohamed Yusof TUDM, 39, dan Mejar Mohd Hasri Zahari TUDM, 31 dilaporkan hilang di sempadan Pahang-Terengganu  kira-kira 11.30 pagi semalam ketika sedang menjalani sesi latihan.

Jasad kedua-dua juruterbang berkenaan ditemui pada jarak 20 meter antara satu sama lain dalam keadaan lengkap berpayung terjun di kawasan hutan berpaya berhampiran Chukai, Kemaman kira-kira 53 kilometer dari Pangkalan TUDM, Kuantan.

TAGS