Azimi akui 40 tahun derita di bawah Umno ikut telunjuk diktator

Azimi akui 40 tahun derita di bawah Umno ikut telunjuk diktator

Datuk Azimi Daim mengakui selama lima penggal Kulim Bandar Baru dipimpin Umno beliau menderita kerana terpaksa mengikut telunjuk bekas ahli Parlimennya yang disandang oleh dua adik beradik.

“Saya terpaksa ikut telunjuk. Menderita kena ikut telunjuk seorang diktator. Selama 30 tahun perintah Kulim dari 1978-2008.

“Jika sampai hari ini destinasi abang hingga adik ini sudah 40 tahun kuasai Kulim Bandar Baharu.

“Biar pi la kat depa. Bukan nak marah mereka atas sifat individu atau dinasti keluarga, tetapi kali ini kita mahu berjuang bersungguh-sungguh tanpa tabur duit dan dedak kita perlu bangkit untuk kita lenyapkan pemerintahan Umno-BN dari bumi Malaysia ini,” ujarnya dalam Siri ceramah Bicara Rakyat dan Perasmian Pejabat Bersatu di Kulim Bandar Baru semalam.

Azimi  selaku Ketua Penaja Bahagian Kulim Bandar Baru Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), walaupun  tidak menyebut nama, namun dipercayai merujuk kepada bekas menteri penerangan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang menjadi Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru Kedah selama 5 penggal .

Beliau menjadi ahli parlimen kawasan itu dari tahun1978 hingga 2008 dan pada PRU12  beliau tidak bertanding serta menyatakan hasrat untuk berundur dari politik.

Kerusinya itu kemudian ditandingi adiknya Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir pada 2008 tetapi kalah di tangan Zulkifli Nordin dari PKR dan beliau kembali bertanding pada 2013 mengalahkan Datuk Saifuddin Nasution Ismail juga dari PKR.

Abdul Kadir pada 2015 telah menubuhkan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) yang kemudiannya pada 2016 bersedia menjadi rakan politik bersama Pas untuk membentuk blok ketiga Gagasan Sejahtera.

TAGS