Azmin mahu tempoh gangguan bekalan air disingkatkan

Azmin mahu tempoh gangguan bekalan air disingkatkan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mahu tempoh gangguan bekalan air di beberapa bahagian di Lembah Klang berakhir lebih awal daripada jangkaan enam hari.

Beliau berkata mesyuarat bersama antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan diadakan bagi meneliti bagaimana untuk mempercepatkan kerja-kerja senggaraan di pencawang masuk utama (PMU) Bukit Badong.

Menurut pihak berkuasa air Selangor sebelum ini, penyelenggaraan di loji Kuala Selangor menjejaskan operasi loji rawatan air Sungai Selangor dan menyebabkan gangguan air bermula hari ini hingga sebelum sambutan Krismas.

“Kami akan merujuk kepada TNB mengenai tempoh paling lama yang diperlukan untuk kerja senggaraan bagi memastikan bekalan air di kawasan yang terjejas dapat disalurkan secepat mungkin,” kata Mohamed Azmin kepada pemberita hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan program menggalakkan kakitangan awam kerajaan untuk menggunakan pengangkutan awam ke pejabat sekali seminggu di Shah Alam hari ini.

Menteri besar berkata kerajaan negeri mahu gangguan bekalan air ini disingkatkan memandangkan sambutan Krismas yang semakin hampir.

Beliau berkata laporan awal menyebut gangguan bekalan air akan mengambil masa selama enam hari memandangkan loji rawatan air tidak ditutup sepenuhnya.

Mohamed Azmin bagaimanapun berkata walaupun terdapat generator elektrik sokongan untuk merawat air mentah di loji rawatan air utama Sungai Selangor, ia hanya mempunyai kapasiti untuk merawat seribu juta liter air mentah sehari berbanding 1800 juta pada hari biasa.

Difahamkan kira-kira 3.89 juta pengguna sekitar Lembah Klang akan mengalami gangguan bekalan air bermula hari ini, kerana kerja penyelenggaraan operasi TNB di PMU Bukit Badong.

Sejumlah 707,759 akaun di 814 kawasan sekitar Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Langat, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Kuala Lumpur terjeas berikutan gangguan air itu.

TAGS