Baca al-Quran, jangan baca Facebook, nasihat AJK Pas Pusat di Facebook

Baca al-Quran, jangan baca Facebook, nasihat AJK Pas Pusat di Facebook

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Mencatatkan peringatan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya membaca al-Quran dan jangan hanya membaca Facebook, Ketua Penerangan Pas Nasrudin Hassan tetap menggunakan Facebook ntuk menyampaikan mesej tersebut.

Beliau dalam catatan yang dimuat naik petang ini memberitahu reaksi Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu ekoran pandangan awam terhadap tindakan Pas membawa Rang Undang-Undang (RUU) Ahli Persendirian bagi maksud meminda Akta 355 ke Parlimen.

“Sebahagian mendakwa Pas telah ditipu oleh Umno dan BN, sebahagian mendakwa Pas akan menyertai Umno dan BN.

“Sebahagian menganggap Pas salah langkah politik sehingga menyebab Pas akan terpinggir dari arus perdana tanpa menafikan sebahagian yang lain pula menyokong penuh langkah Pas membawa RUU Ahli Persendirian ke Parlimen,” ujarnya.

Nasrudin dalam catatan, “Sekali Serban Dililit. 51” itu juga memberitahu Abdul Hadi tentang pelbagai pandangan orang ramai terhadap sikap dan pendekatan Pas dalam gagasan Budaya Politik Matang dan Sejahtera.

Reaksi ringkas Abdul Hadi, “anta baca al-Quran! Jangan baca Facebook” ujar Nasrudin, menyebabkannya terdiam sambil mengangguk tanpa memahami secara mendalam apa yang dimaksudkan.

“Apa yang terlintas dalam benak saya ialah Tuan Guru Presiden tidak berminat untuk layan dan respon segala caci maki dan kritikan sinis dari Facebook dan media sosial sebaliknya mahu terus menumpukan perhatian kepada agenda perjuangannya,” tulis Ahli Parlimen Temerloh itu.

Nasrudin juga memberitahu, Hadi turut memberi reaksi sama dengan sedikit huraian ketika diajukan tentang kecaman bertali arus netizen seminggu selepas itu iaitu ketika berlangsungnya mesyuarat bulanan Pas Pusat.

“Baca al Quran! Al-Quran tidak ada akaun palsu. Al-Quran adalah benar! Al-Quran adalah kalamullah. Al-Quran adalah mukjizat Nabi s.a.w.. Al-Quran adalah petunjuk dan pedoman hidup kita di dunia ini untuk sampai ke akhirat dengan selamat,” kata Abdul Hadi seperti dituliskan kembali Nasrudin.

Nasrudin yang dikenali dengan imej berserban itu turut menyertakan terjemahan al-Quran dipetik dari Surah Al-Ma’idah: ayat 49, Surah Al-Hijr: 94 serta Surah Al Anfaal: 62.

“Kita pejuang. Kita laksanakan apa yang Allah SWT perintah. Usah peduli apa orang nak kata kepada kita asal saja kita betul-betul melaksanakan apa yang Allah SWT suruh kita laksanakan,” katanya lagi.

TAGS