Badan peguam gesa hentikan penindasan terhadap suku Temiar, Rohingya

Badan peguam gesa hentikan penindasan terhadap suku Temiar, Rohingya

Badan Peguam mahu Kerajaan Kelantan mengenakan moratorium ke atas semua aktiviti penguatkuasaan dan pembalakan sehingga tuntutan tanah adat diselesaikan.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Badan Peguam Malaysia menyeru penindasan terhadap masyarakat terpinggir seperti suku Temiar di Gua Musang dan Rohingya di Myanmar dihentikan.

Presiden Steven Thiru berkata, badan peguam akan terus mengusahakan dan menyokong penyelesaian konflik secara aman dan adil.

“Badan Peguam bersama Temiar dan Rohingya dalam usaha mereka memastikan hak asasi dan kehidupan mereka dilindungi,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Steven berkata, Kerajaan Persekutuan dan Kelantan perlu menghentikan semua tindakan untuk merampas tanah adat Temiar dan penangkapan Orang Asli.

Dalam operasi penguatkuasa 29 November lepas, Jabatan Perhutanan meroboh dan memusnahkan halangan yang didirikan Orang Asli yang membantah pencerobohan secara aman.

47 Orang Asli ditahan pada hari itu.

Menurut Steven juga, Temiar perlu pertahankan tanah adat mereka daripada pencerobohan yang semakin berleluasa dan degradasi alam sekitar.

Beliau berkata Badan Peguam mahu Kerajaan Kelantan mengenakan moratorium ke atas semua aktiviti penguatkuasaan dan pembalakan sehingga tuntutan tanah adat diselesaikan.

Sementara itu, Badan Peguam mengalu-alukan campurtangan diplomatik Putrajaya dalam penindasan etnik Rohingya di Myanmar.

“Sukacita melihat Kerajaan Malaysia mengambil keputusan untuk mengenepikan prinsip tidak campurtangan dalam hal domestik salah satu negara anggota Asean.”

Beliau berkata Malaysia tidak boleh menepis pencabulan hak asasi manusia dalam sempadan komuniti Asean.

Steven berkata sesaran Rohingya memberi kesan kepada keamanan dan keselamatan serantau.

Katanya kerajaan perlu memberikan status pelarian kepada Rohingya, sepertimana kepada warga Syria yang ditawarkan penempatan semula.

TAGS