Bagaimana Nik Aziz mengundi dalam Dewan Rakyat

Kenangan. 1982. Suatu hari di Dewan Rakyat. Aku berada di Galeri Akhbar, Press Gallery untuk membuat liputan sidang Dewan Rakyat.

Dari tempat duduk aku, aku dapat lihat ahli-ahli parlimen mengambil tempat masing-masing. Masa itu tidak ada lagi liputan Dewan Rakyat secara langsung di televisyen. Ahli pembangkang jangan harap dapat masuk televisyen.

Pada hari berkenaan pula adalah pertama kali sidang Dewan Rakyat diadakan selepas berlaku krisis dalam PAS. Datuk Asri Muda dan penyokong-penyokongnya telah keluar PAS dan menubuhkan Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim). Yang Dipertua Agung PAS yang baharu ialah Yusof Rawa. Asri dan Yusof tidak ada kerusi di Dewan Rakyat.

Dalam Dewan Rakyat ada lima wakil PAS. Empat ahli parlimen PAS ialah pengikut Asri dan telah melompat ke Hamim. Hanya seorang yang tetap bersama PAS iaitu Nik Aziz Nik Mat dari Pengklan Chepa.

Pada hari itu berlaku pengundian. Aku tak ingat sama ada Belanjawan atau Rang Undang-undang tertentu.

Apabila mengundi, semua wakil rakyat Barisan Nasional menyokong. Sementara pembangkang termasuk DAP dan PAS menentang. Aku lihat Nik Aziz mengangkat tangan menentang. Tapi semua wakil rakyat Hamim mengundi berkecuali.

Tidak beberapa lama selepas itu Hamim memohon menyertai Barisan Nasional. Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad menerima kemasukan Hamim. Pada mulanya Berjasa yang ada dalam Barisan Nasional membantah kemasukan Hamim. Tetapi kemudian mereka menerima juga. Ketika itu Ketua Dewan Ulama Berjasa ialah Mahmood Zuhdi dan Ketua Pemuda Berjasa ialah Ibrahim Ali.

Ibrahim Ali kemudian menyertai UMNO. Datuk Asri cuba membubarkan Hamim tetapi cadangannya ditolak oleh ahli Hamim. Datuk Asri kemudian menyertai UMNO.

Berjasa dan Hamim kemudian menyertai Angkatan Perpaduan Ummah bersama PAS dan Semangat 46.

CATEGORIES
TAGS