Bahasa Melayu punyai nilai ekonomi – Raja Muda Perlis

Bahasa Melayu punyai nilai ekonomi – Raja Muda Perlis

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu usaha bersungguh-sungguh dilaksanakan agar bahasa Melayu menjadi bahasa antarabangsa dan ditutur di seluruh dunia.

Baginda bertitah sebagai bahasa kelima terbesar dituturkan lebih 300 orang, bahasa Melayu wajar dilestarikan menjadi bahasa pengantar dalam sistem pendidikan di semua peringkat.

“Beta yakin bahasa Melayu mempunyai nilai sebagai bahasa ekonomi. Perkembangan sektor ekonomi rantau ASEAN lebih terkesan sekiranya bahasa Melayu dijadikan ‘bahasa ASEAN’ yang mempengaruhi penggunaannya meliputi Asia Tenggara,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian semasa merasmikan Program Pembelajaran Bahasa Melayu Wilayah Phang-Nga, Selatan Thai 2016 anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Sekolah Fahad Wittaya Phang-Nga, baru-baru ini.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Program dianjurkan dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Keberangkatan baginda berdua disambut Naib Canselor UniMAP Prof Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin dan Pengarah Pusat Bahasa dan Antarabangsa UniMAP, Prof Dr Harshita Aini Harun.

Hadir sama Gabenor Wilayah Phang-Nga, En Phakaphong Tavipatana dan Penasihat Undang-Undang Perlis, Wan Jefry Kassim.

Tuanku Syed Faizuddin juga yakin penggunaan bahasa Melayu dapat meningkatkan industri pelancongan dalam kalangan negara ASEAN dan Asia Tenggara.

“Rakyat negara anggota ASEAN yang memahami budaya masing-masing akan lebih bersemangat menutur bahasa Melayu walaupun bahasa Inggeris adalah bahasa pengantar utama dalam perhubungan antarabangsa,” titah baginda.

Baginda selaku Canselor UniMAP juga bertitah program bersama Wilayah Phang-Nga merupakan perkongsian pintar bagi mengeratkan pertalian sejarah bahasa serta bangsa yang wujud sekian lama antara Malaysia dan Thailand.

Wilayah Phang-Nga didiami 260,000 penduduk dengan 35 peratus beragama Islam selain mempunyai 105 buah masjid berdaftar dengan Majlis Agama Islam Phang-Nga serta lima sekolah agama.

TAGS