Bahasa Melayu satukan hati bangsa Malaysia, kata Sasterawan

Bahasa Melayu satukan hati bangsa Malaysia, kata Sasterawan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Bahasa Melayu harus difahami oleh setiap rakyat di negara ini sebagai jambatan kepada penyambungan hati nurani bangsa Malaysia, kata sasterawan Dr Lim Swee Tin.

Pensyarah Kesusasteraan Melayu berbangsa Cina itu berkata sebagai warganegara Malaysia, beliau bertanggungjawab mengangkat dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan.

“Jambatan bahasa Melayu adalah satu jambatan yang sangat ampuh untuk membolehkan kita melahirkan aspirasi kita dalam konteks menyatupadukan rakyat daripada pelbagai etnik, kaum dan bangsa termasuklah integrasi nasional.

“Sebab itu, saya rasa menjadi satu daripada tanggungjawab saya untuk membantu pihak kerajaan dan juga sesiapa sahaja dalam usaha menjadikan bahasa Melayu ini bahasa kita bersama,” katanya kepada wartawan selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di Masjid Putra semalam.

Swee Tin, 64, pensyarah di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia merupakan seorang daripada sembilan penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan bagi 1438 Hijriah yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Berkongsi pengalamannya di lapangan, beliau mengakui banyak membantu masyarakat dari segi bahasa melalui kempen bahasa dan gerakan membantu masyarakat menguasai, mencintai dan memartabatkan bahasa Melayu.

Selain tugasnya sebagai pensyarah, Swee Tin juga merupakan pengelola ruangan Sastera dan Budaya akhbar Mingguan Watan dan pengadil Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) bagi acara Sayembara Puisi Kebangsaan dari 1995 sehingga sekarang.

Menurutnya, beliau turut melibatkan diri dalam bidang deklamasi puisi termasuk kempen menyelamatkan negara dan umat Islam ditindas di seluruh dunia termasuk di Palestin dan Rohingya.

“Banyak juga saya suarakan di pentas menuntut keadilan melalui karya sastera dan deklamasi puisi di samping penulisan saya demi keamanan, kemakmuran, kesejahteraan dan kedamaian sejagat,” katanya sambil merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia yang mengiktiraf usahanya selama ini.

TAGS