Baik basuh mulut kamu dulu sebelum cela orang

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Rozaimi minta basuh mulut dulu sebelum cela orang.

Seorang pengkaji hadis, Dr Rozaimi Ramle menasihati pihak tertentu agar membasuh mulut dahulu sebelum mencela orang lain yang tidak membasuh diri dengan air selepas membuang air.

“Saya kira elok juga kita ‘basuh mulut’ kita sebelum nak cela orang lain tidak basuh diri selepas buang air,” tulis beliau dalam Facebooknya ekoran panas isu seorang penceramah menghina orang bukan Islam dan Sultan Johor.

Penceramah agama yang juga kakitangan Jakim itu kini ditahan reman polis bagi membantu siasatan.

“Viral satu video seorang ustaz yang menyebut bangsa Cina yang dikatakan biasanya tidak basuh kemaluan setelah buang air.

“Oleh kerana itu, beliau menyokong diasingkan dobi antara muslim dengan bangsa Cina untuk memastikan pakaian Muslim ‘suci lagi menyucikan’,” tulisnya mengulas isu berkenaan.

Penceramah agama kontroversi, Dr Zamihan Mat Zin ditahan polis selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi semalam.

Zamihan mencetuskan kontroversi apabila mengkritik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkaitan isu dobi untuk orang Islam.

Bagi Rozaimi yang mempunyai PhD dalam ilmu hadis itu, beristinja’ atau menyucikan najis dari badan bukan sekadar menggunakan air sahaja bahkan boleh dengan kertas tisu.

Benar, katanya Islam mengajarkan cara bersuci. Bahkan Islam adalah agama yang menitikberatkan tentang kebersihan.

Namun katanya, memandang lekeh suatu bangsa kerana tidak membasuh anggota kemaluan setelah membuang air secara semberono adalah tidak wajar.

Ini kerana istinja’ (menyucikan diri setelah buang air) tidak hanya terhad dengan basuhan air.

“Bahkan ia boleh menggunakan tisu, batu dan semua benda yang kesat dengan syarat minima 3 kali sapuan dan menghilangkan fizikal najis berkenaan. Ini adalah rukhsah (kemudahan) yang Islam gariskan,” katanya.

Beliau memberikan satu hadis yang bermaksud:

“Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w. melarang kami menghadap kiblat sewaktu buang air, larang kami beristinja’ menggunakan tangan kanan dan melarang kami beristinja’ menggunakan kurang dari tiga biji batu dan larang kami beristinja menggunakan tahi kering (haiwan) dan tulang.” (HR Abu Daud dan Tirmizi, kata Tirmizi: hadis ini hasan sahih)

Jelas katanya, dalam hadis ini beristinja’ menggunakan batu dibenarkan dan ulama luaskan maknanya dengan mengatakan semua benda kesat selain tulang, tahi kering dan makanan dibenarkan. Walaupun beristinja’ dengan air itu afdhal.

“Saya tidak pasti apakah hinanya beristinja’ dengan selain air?” katanya.

Berkaitan kenyataan Zamihan bahawa “pakaian orang Islam perlu suci dan menyucikan”, beliau menyifatkannya sebagai mengelirukan.

“Benar pakaian orang Islam perlu suci terutama jika ingin melakukan solat. Namun baju yang menyucikan itu bagaimana? Adakah beliau berwuduk dan mengangkat hadas dengan baju beliau? Atau beliau¬† berwuduk atau beristinja’ dengan baju beliau? Sehingga baju beliau dianggap menyucikan?” katanya.

Kenapa benci Cina

Rozaimi menegaskan, umat Islam tidak boleh membenci bangsa lain khasnya Cina.

“Kepada bangsa Cina, saya menegaskan bahawa Islam tidak membenci bangsa anda. Jika ada ustaz yang menyemai kebencian kepada mana-mana bangsa itu hanyalah pandangan peribadi beliau dan ia tidak mewakili Islam. Saya kesal dengan kekeliruan ini,” kata Rozaimi yang mempunyai ramai pengikut itu.

Rozaimi juga menegaskan, isu pengasingan dobi layan diri adalah hak peribadi pemilik dobi.

“Namun jika pengasingan disebabkan alasan pakaian bukan Muslim kotor atau najis secara pukal adalah tidak wajar dan saya menjunjung titah Tuanku Sultan Johor dalam isu ini,” katanya.

Katanya, Islam tidak pernah memperlekehkan mana-mana bangsa secara pukal.

“Islam sangat menghormati kemuliaan insan tidak kira dari apa bangsa sekalipun. Perbuatan menghina bangsa secara pukal bukanlah ajaran Islam walaupun yang menghina itu memakai serban dan berjubah,” katanya.

7.0
OVERALL SCORE
: 8.0
6 user votes x 6.8
CATEGORIES
TAGS