Bajet 2006 janji nak bina hospital Pendang, lepas 10 tahun bayang pun tak nampak

Bajet 2006 janji nak bina hospital Pendang, lepas 10 tahun bayang pun tak nampak

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kerajaan Umno dan BN sememangnya pandai membuat janji menjelang pilihan raya umum.

Seringkalinya janji yang dibuat hanyalah sebagai pemanis kata bagi meraih sokongan pengundi.

Ini terbukti apabila Hospital Pendang yang dilaung-laungkan sejak bajet 2006 pada zaman pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi masih lagi belum menjadi realiti hingga kini.

Sedangkan penduduk dalam kawasan Parlimen Pendang amat mengharapkan hospital yang menelan kos projek RM200 juta tersebut dapat menjadi kenyataan.

Asmirul Anuar ArisKetika kajian separah penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9), beberapa projek besar termasuk Hospital Pendang terpaksa ditangguhkan akibat kekurangan dana dan kewangan.

Projek ini kemudian dimasukkan pula ke dalam RMK10 menerusi kaedah Inisiatif Pembiayaan Swasta atau PFI.

Pada peringkat awalnya rancangan projek tersbut juga akan mempunyai 108 katil dengan 28 katil di wad lelaki, 28 katil di wad perempuan, 28 katil di wad bersalin, 4 katil di wad kecemasan serta 2 katil di wad bedah.

Namun begitu, setelah 10 tahun menanti, bayang hospital pun tidak kelihatan sehingga menjelangnya pula pilihan raya umum ke 14 tidak lama lagi.

Menurut Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Kedah, Asmirul Anuar Aris, kerajaan Umno dan BN sudah sebati dengan seribu satu janji menjelang pilihan raya.

“Sebuah kerajaan sepatutnya menitikberatkan tiga keutamaan dalam pemerintahan sesebuah negeri maupun negara.

“Kerajaan seharusnya menjaga dan mengawal perbendaharaan negara serta ekonomi dengan baik supaya negeri dan negara menjadi maju.

“Mereka semestinya menyediakan perkhidmatan hospital dan kesihatan kepada rakyat seperti mana janji untuk membina Hospital Pendang ini menjadi kenyataan, ” jelasnya lagi.

Tegasnya lagi, sikap acuh tidak acuh kerajaan untuk membina hospital yang pernah dilaung-laungkan selama ini untuk dibangunkan hanyalah untuk mendapat undi dan sokongan menjelang pilihan raya.

“Dakwaan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Helmi Yahaya bahawa kerajaan tiada dana pada waktu ini cukup memalukan, sedangkan peruntukan untuk bajet membina Hospital Pendang telah pun diluluskan.

“Slogan BN Menang, Kedah Senang merupakan antara retorik Umno dan BN Kedah bagi mengaburi mata rakyat negeri ini sejak PRU yang lalu.

“Sekiranya hospital ini dapat disiapkan dengan segera, ia dapat mengurangkan beban dan kesesakan di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, ” ujarnya lagi.

Asmirul juga berkata, penduduk yang sering mendapat rawatan dan pemeriksaan di Hospital Sultanah Bahiyah juga sedar mereka terpaksa mengambil masa yang begitu lama bagi mendapatkah khidmat di situ.

“Untuk mendapatkan ubat dan pemeriksaan terpaksa menanti begitu lama akibat kesesakan yang melampau.

“Sekiranya Hospital Pendang dapat dibangunkan sepertimana yang dijanjikan oleh kerajaan sejak 10 tahun yang lalu, ia akan menjimatkan masa dan kos perjalanan penduduk Pendang yang terpaksa berulang-alik ke Alor Setar bagi mendapatkan rawatan.

“Selain itu ia juga dapat mewujudkan peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi rakyat setempat khususnya bagi kawasan Pendang dan negeri Kedah, ” tambahnya lagi.

Ujarnya lagi, kedudukan Pendang yang begitu strategik kerana mempunyai susur keluar melalui lebuh raya yang begitu hampir dengan tapak hospital yang dicadangkan mempunyai peluang pertumbuhan yang besar.

Oleh kerana itu katanya, Pemuda Amanah Negeri Kedah berpendapat, sudah sampai masanya rakyat menilai kembali janji-janji yang sering dibuat oleh kerajaan pimpinan Umno dan BN setiap kali menjelang pilihan raya.

“Tidak dapat dinafikan menjelang pilihan raya ke 14 yang akan datang, ada lagi janji baru yang akan mereka buat bagi mendapat sokongan pengundi di Parlimen Pendang.

“Kini sudah tiba masanya bagi rakyat untuk membuat perubahan dengan menukar kerajaan sedia ada yang telah terbukti banyak membuat kerosakan dan menyusahkan rakyat.

“Menukar kerajaan sedia ada dengan memberi peluang kepada Amanah dan Pakatan Harapan menjelang PRU ke 14 yang akan datang, akan membawa perubahan besar yang tidak mungkin pernah dilaksanakan oleh Umno dan BN sebelum ini, ” katanya lagi.

TAGS