Bajet 2017: Bukan sekadar gimik dapatkan pungutan suara atas talian, kata DAP

Bajet 2017: Bukan sekadar gimik dapatkan pungutan suara atas talian, kata DAP

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Steven SimPelawaan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak untuk masyarakat menyumbang saran dalam merangka Bajet 2017 yang akan dibentangkan di Parlimen Oktober nanti dibimbangi menjurus kepada tindakan gimik semata-mata.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim mengakui bahawa idea bajet penyertaan (participatory budget) seumpama itu adalah baik dalam mewujudkan kesedaran masyarakat, namun ia tidak seharusnya dihadkan kepada pungutan suara secara atas talian.

Beliau yang berpengalaman dalam memperkenal, mempromosi dan menggerakkan Bajet Gender Responsif dan Penyertaan (GRPB) di Pulau Pinang, justeru mencadangkan supaya Najib yang juga Menteri Kewangan mengambil iktibar daripada beberapa rangka kerja projek itu.

Jelas Steven Sim, kerajaan Persekutuan perlu menyediakan akses kepada maklumat berkaitan bajet negara bagi membolehkan rakyat membuat keputusan berdasarkan maklumat tersebut.

“Mesti ada peluang untuk penilaian dasar, iaitu bagaimana sesuatu keputusan belanjawan akan memberi kesan kepada matlamat tertentu, contohnya kesaksamaan gender dan pengedaran mengikut kelas sosial,” katanya dalam satu kenyataan seperti dipetik dari Roketkini.

Katanya lagi, kerajaan juga perlu ‘turun padang’ menyantuni komuniti kecil seperti di kampung-kampung dan perumahan kos rendah bagi memastikan suara mereka didengari, tanpa mengira jantina dan peringkat umur.

“Mereka juga perlu diberi peluang untuk terus memantau perbelanjaan kerajaan untuk memastikan bahawa bajet yang dirancang dipatuhi, dan (dibenarkan) untuk campur tangan apabila pelaksanaan tidak mencapai matlamat belanjawan (yang dibentangkan).

“Laporan dan perakaunan yang sesuai perlu dijalankan untuk membolehkan anggaran penilaian perbelanjaan kerajaan pada akhir tahun,” katanya.

Najib dalam satu twitnya Isnin lalu mempelawa masyarakat untuk menyumbang idea dalam penyediaan Bajet 2017 secara atas talian di sebuah laman sesawang yang dicipta khas untuk pungutan suara berkenaan sehingga 19 September ini.

TAGS