Bajet 2017 gula-gula politik, silap mata untuk nampak cantik, kata Muhyiddin

Bajet 2017 gula-gula politik, silap mata untuk nampak cantik, kata Muhyiddin

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin merumuskan, Bajet 2017 sarat dengan gula-gula politik untuk menutup segala salah laku Malaysian Official One (MO1) yang merompak harta negara.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Parlimen Bajet 2017Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin merumuskan, Bajet 2017 sarat dengan gula-gula politik untuk menutup segala salah laku Malaysian Official One (MO1) yang merompak harta negara.

Beliau berkata, bajet yang dibentangkan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak Jumaat lalu tidak realistik dan tidak memenuhi kehendak rakyat dari segi keperluan menangani kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Ia juga tidak mengandungi satu perancangan yang jelas untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negara, mewujudkan peluang-peluang pekerjaan baharu dan menambahkan pendapatan rakyat,” kata bekas timbalan perdana menteri itu ketika membahaskan Bajet 2017 di Dewan Rakyat hari ini.

Muhyiddin juga berkata, pembentangan bajet pada tahun ini agak berlainan berbanding tahun-tahun sebelum ini dan menyifatkannya sebagai silap mata untuk menutup kelemahan dalam pengurusan ekonomi negara.

“Ada grandstanding. Ada props. Biasanya grandstanding dan props digunakan untuk mencantikkan sesuatu yang sebenarnya tidak cantik. Ia sekadar suatu silap mata untuk menutup kelemahan dalam pengurusan ekonomi negara.

“Kos sara hidup meningkat, hutang negara bertimbun, perniagaan perlahan, syarikat membuang pekerja, pengangguran meningkat, perbelanjaan pengguna menurun, hasil kerajaan merosot, peruntukan untuk kementerian-kementerian dipotong, wang dalam khazanah negara lesap dan sumber kerajaan digunakan untuk membayar hutang,” katanya.

Pada awal ucapannya, beliau mengambil peluang membangkitkan isu Syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan mengulangi keraguannya mengenai kewajaran Najib menubuhkan 1MDB dan menjadi pengerusi lembaga penasihat.

“​Dahulu saya duduk di sebelah sana (kerajaan) dan hari ini saya berdiri di sebelah sini (pembangkang) pun kerana saya bercakap mengenai isu 1MDB. Saya meragui kewajaran Perdana Menteri menubuhkan 1MDB dan menjadi Pengerusi Lembaga Penasihatnya.

“Saya mempersoalkan mengapa 1MDB yang bermodal hanya RM1 juta tetapi menanggung liabiliti sehingga RM42 bilion disebabkan kerugian dan kehilangan wang yang tidak diketahui sebabnya. Akhirnya 1MDB menghadapi masalah kecairan wang tunai yang teruk sehingga tidak dapat membayar hutang piutangnya.

“Saya juga bertanya ke mana wang 1MDB lesap dan bagaimana sejumlah RM2.6 billion dijumpai dalam akaun peribadi Malaysian Official One?” katanya.

 

TAGS