Bajet 2017: Haron Din sumber inspirasi, Najib sindir  Tun M bertemu Anwar

Bajet 2017: Haron Din sumber inspirasi, Najib sindir Tun M bertemu Anwar

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Dalam pembentangan Bajet 2017, Datuk Seri Mohd Najib Razak turut menyebut dua tokoh pemimpin politik dan pendakwah Allahyarham Tan Sri Aziz Tapa dan Allahyarham Datuk Dr Haron Din.

Najib menjelaskan dalam melalui suka duka episod memacu kejayaan negara beliau tidak lupa pada dua tokoh pemimpin itu yang menjadi sumber inspirasi dan teladan pada semua.

“Di kesempatan ini saya menzahirkan ucapan takziah kerana mereka banyak berjasa kepada negara.

“Mereka yang akan saya sebutkan bukan terdiri dari ahli parlimen namun sekadar berkongsi cerita dan rasa.

“Allahyarham Tan Sri Aziz Tapa,92, yang menyumpahkan taat setia kepada perjuangan bangsa.

“Dan seorang sahabat peribadi dan keluarga saya iaitu Allahyarham Tuan Guru Ustaz Datuk Haron Din…sesungguhnya kita rakyat Malaysia telah kehilangan tokoh yang sangat di hormati ini,” ujarnya.

Sambung beliau lagi walaupun Allahyarham Dr Haron Din berada di landasan politik berbeza, namun ujarnya kerajaan tetap menyanjung tinggi perjuangan Allahyarham.

“Meskipun tuan guru berada di landasan politik berbeza namun kita tetap sanjung tinggi perjuangan beliau untuk ummah dan pihak kerajaan telah menganugerahkannya Tokoh Khas Maal Hijrah 2016 kepadanya,” ujarnya.

Najib turut melahirkan rasa kecewa dan sedih kerana terdapat dakwaan dikalangan pembangkang yang membenci dan menabur nista terhadap Allahyarham.

“Tetap kita berasa sedih dan kecewa kerana ada dikalangan pembangkang sendiri membenci dan menista beliau.

“Pernah semasa saya melawat beliau di hospital secara peribadi tokoh ilmuan Islam ini ada menyebut (berpesan)  kepada saya bahawa: “Jika kita suka pada seseorang itu berpada-padalah mana tahu kelak kita akan membencinya. Kalau kita benci pada seseorang itu pula berpada-pada jugalah kerana orang yang dibenci itu kelak akan menjadi orang yang kita sayang,” ucapannya itu disambut derai tawa ahli parlimen.

Katanya lagi, “itulah dia jadinya…barangkali kerana itulah sampai ke mahkamah seseorang mencari orang yang pernah dia benci,” sindirnya yang kemudian meminta ahli dewan rakyat mensedekahkan umul kitab al-Fatihah kepada kedua-dua Allahyarham.

TAGS