Bajet 2017: Kerajaan digesa lulus bajet atasi krisis air Johor

Bajet 2017: Kerajaan digesa lulus bajet atasi krisis air Johor

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Amanah Negeri Johor mahu kerajaan pusat menyediakan peruntukan tambahan kepada kerajaan negeri khusus dalam pengurusan bencana alam dan pengurusan air terawat di negeri itu dalam Bajet 2017.

Ini sejajar dengan fenomena air pasang besar yang bakal melanda Pantai Barat Johor dan Muara Sungai Johor yang dipertanggungjawabkan kepada Badan Kawal Selia Air Negeri Johor (Bakaj).

Ketua Biro Alama Sekitar Amanah Negeri Johor Anis Afida Mohd Azli berkata, pihaknya telah membuat lawatan ke Bakaj untuk membahaskan krisis bekalam air terawat kepada rakyat Johor baru-baru ini.

“Walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan negeri, kami melihat ia masih belum dapat diselesaikan sepenuhnya melainkan kerajaan negeri mendapat peruntukan tambahan daripada kerajaan pusat pada sesi bajet akan datang.

“Alasan ketidakcukupan bajet daripada kerajaan pusat amat mengecewakan kita sebagai rakyat Johor.

“Hal ini bercanggah dengan kenyataan-kenyataan rasmi yang telah dikeluarkan oleh kerajaan pusat berhubung kondisi ekonomi negara yang stabil, tapi dalam masa yang sama tidak mampu meluluskan bajet kepada negeri Johor bagi mengatasi krisis air yang melibatkan kepentingan rakyat terbanyak,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru katanya, tumpuan kerajaan terhadap pembangunan perumahan rumah mampu milik oleh kerajaan negeri, ia harus berjalan seiring dengan perancangan yang komprihensif berkaitan perbekalan air bersih kepada rakyat yang bakal menghuni penempatan itu kelak.

Delegasi Amanah Johor telah membut lawatan susulan ke Bakaj dan disambut oleh Pengarahnya Mohd Riduan Md Ali di Kota Iskandar semalam.

Walaupun keseluruhannya delegasi ujarnya, berpuas hati dengan hasil penerangan yang telah diberikan namun ada beberapa perkara yang perlu dipertingkatkan dan masih didalam proses seliaan pihak Bakaj.

“Kita memberi ruang kepada mereka untuk membuktikan kerja buat mereka seperti yang telah dimaklumkan kepada kami.
“Kesediaan pihak Bakaj untuk mendengar permasalahan dan aduan daripada pelbagai pihak patut dicontohi oleh jabatan-jabatan kerajaan yang lain.

“Pertemuan diakhiri dengan jaminan daripada pihak Bakaj berhubung isu air pasang besar dimana tidak akan berlaku banjir di Sungai Muar setelah tindakan melepaskan air daripada Empangan Juaseh.

“Manakala di Muara Sungai Johor hanya akan berlaku kenaikan air di kawasan tapak letak kereta di Tokong Cina selepas by pass Kota Tinggi,” ujarnya kenyataan itu.

Namun, sebagai sebuah parti yang prihatin, Amanah Negeri Johor tetap menasihatkan rakyat Johor agar terus berhati-hati dan mengambil langkah berwaspada pada masa berlakunya fenomena tersebut.

Hasil daripada lawatan itu, Amanah Negeri Johor ujarnya, akan meneruskan peranan sebagai penyemak dan imbang bagi kerajaan negeri dalam hal-hal yang membabitkan kepentingan rakyat Johor.

Selain itu, satu usaha yang lebih serius akan dimainkan dalam proses pemuliharaan sungai-sungai di Johor selepas ini demi memastikan keperluan asas rakyat Johor dinikmati secara menyeluruh.

Pertemuan selama satu jam setengah telah digunakan sebaiknya oleh kedua-dua pihak untuk bersoal jawab dan bertukar-tukar pandangan.

Antara isu yang dibangkitkan adalah:

1) Fungsi sebenar Badan Kawal Selia Air Negeri Johor (Bakaj) dan enakmen yang berkaitan.

2) Fenomena air pasang besar yang melanda pada bulan ini dan sejauh mana persiapan bagi menghadapinya.

3) Status lesen perlombongan pasir di pesisiran sungai-sungai yang membekalkan air mentah kepada logi-logi rawatan air di Negeri Johor.

4) Status pewartaan 15 empangan air mentah di Negeri Johor dan kawasan sekitarnya.

5) Status pewartaan Hutan Tadahan Air.

6) Fungsi ‘barrage’ di Sungai Johor dan perkara teknikal tentang operasinya serta kesan-kesan langsung kepada ekosistem, alam sekitar dan penduduk.

7) Perancangan jangka pendek dan jangka panjang sumber bekalan air mentah di Negeri Johor.

8) Nasib nelayan pesisir Sungai Johor yang terjejas akibat pembinaan ‘barrage’ dan perubahan ekosistem.

9) Kedudukan terkini jumlah air terawat yang dihasilkan oleh logi-logi rawatan air setiap hari serta krisis air yang tidak berkesudahan.

10) Kerjasama yang boleh dilakukan oleh rakyat dan badan-badan ngo mahupun parti politik bersama orang awam dengan badan-badan kerajaan berkaitan isu pemuliharaan sungai-sungai di Negeri Johor serta kempen kesedaran tentang penjimatan air.

TAGS