Bajet 2018 suntik ‘rasa sedap’ pada penyokong tegar BN

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Dr Dzulkefly Ahmad

Bajet 2018 yang hanya memperuntukkan RM1500 bonus untuk kakitangan awam dan mengekalkan sumbangan BR1M pada tahap RM1200 bukan bermaksud ia belanjawan yang tidak berorientasikan pilihan raya, malah peruntukan yang diberikan kepada lima kelompok sasar dalam ‘ibu segala bajet’ itu bertujuan untuk memastikan penyokong tegar BN tidak beralih sokongan.

Pengarah Strategi AMANAH Dr Dzulkefly Ahmad (foto) berkata, tindakan pentadbiran Najib untuk tidak menambah jumlah BR1M memang sengaja dilakukan kerana daripada 7 juta penerima, tidak semua daripada mereka akan mengundi BN.

Malah pemberian RM1,500 ‘bantuan khas’ dengan dua kali bayaran kepada penjawat awam, katanya membayangkan pentadbiran Najib sedar tentang majoriti penjawat awam keberatan untuk mengundi BN ekoran ramai yang menderita akibat barang naik dan kos hidup yang semakin membebankan.

“Mereka marah dan juga bosan hidup susah. Tidak bijak kalau Najib tambah secara ‘borong atau blanket’ macam itu. Yang jelas, ‘jalan ke Putrajaya’ hakikatnya, masih melalui jalan kampung dan luar bandar,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya pentadbiran Najib lebih khusus mensasarkan kelompok tertentu bagi memastikan sokongan tegar BN tidak lari sekaligus mahu menghalang penularan pengaruh parti saingan Umno, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di kawasan luar bandar dan penempatan Felda.

Menurut beliau, bagi mencapai tujuan ini, pentadbiran Najib memberikan peruntukan paling besar kepada pesawah, petani, peladang, nelayan, pekebun kecil dan penoreh getah sebanyak RM6.5 bilion.

Ini merangkumi RM2.3 bilion untuk baja dan input pertanian, tanam semula getah dan kelapa sawit, saliran air, termasuk bayaran RM200 sebulan untuk pesawah selama 3 bulan menanti padi dituai.

Masyarakat Orang Asli pula, katanya menerima peruntukan RM60 juta manakala warga Felda menerima RM60 juta peruntukan tanam semula dan RM43 juta wang Cess disamping RM160 juta peruntukan untuk rumah generasi ke-2.

Bajet 2018 juga, tambah beliau memperuntukkan RM1,500 bantuan khas kepada tok batin dan ketua kampung manakala RM1,500 bantuan khas untuk guru KAFA, takmir, imam, bilal dan tok siak.

“Bagi menggembirakan pihak ATM, diperuntukkan RM14 bilion termasuk RM40 juta menaik taraf 5 hospital, 4 poliklinik dan hospital untuk pesara tentera atau veteran. Sementara PDRM menerima RM9 bilion dan Maritim RM900 juta dan banyak lagi ‘kumpulan sasar’ Najib termasuk cubaan menyantuni golongan wanita,” ujarnya.

Sambil menyifatkan langkah pentadbiran Najib sebagai ‘bijak dan licik’, Dr Dzulkefly berkata, peruntukan yang lebih fokus dan terarah ini membuktikan kerajaan BN perlu berhemah kerana tidak mempunyai “ruang fiskal” untuk berbelanja besar.

“Hutang sudah mencecah ‘had statutori’. Agensi penarafan memantau bejatnya. Fitch Rating telah bersuara. Silap haribulan penarafan atau ‘rating’ negara boleh diturunkan. Buruk buat Najib, khasnya impak ke atas posisi ‘kedaulatan negara’ dan nilai ringgit.

“Lalu ini yang termampu Najib lakukan. Kaedah “Bajet Memberi Habuan Depan” atau dengan istilah “Front-Loaded Cash Budget”. Beri sebanyak yang boleh di awal tahun. Suntik dan cetuskan ‘rasa sedap’ (feel good) kepada kumpulan sasaran.

“Beban bayaran pembiayaan mengurus serta pembangunan bahkan perbelanjaan mengurus kemudian! Ya, selepas dia menang pilihan raya. Itu pun kalau menang,” ujar beliau.

Ikuti ulasan lanjut beliau di ruangan ‘Rencana’.

 

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS