Bajet Selangor 2017: Sasaran B40 hanya kelompok tertentu, insentif M40 tiada

Bajet Selangor 2017: Sasaran B40 hanya kelompok tertentu, insentif M40 tiada

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan

Bajet Selangor 2017 yang dibentangkan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali baru-baru ini, tidak lebih daripada ‘belajar dan meniru’ inisiatif dan dasar baik kerajaan Persekutuan dalam Bajet 2017.

Penyelaras Adun BN Selangor Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, ia tidak lebih daripada ulang semua daripada Bajet Persekutuan yang diucapkan dalam Bajet Negeri 2017 atau dalam bajet-bajet negeri sebelum ini.

“Isi rumah berpendapatan 40 peratus ke bawah (B40) anggaran RM3,900 kerajaan negeri akan memberi Skim Peduli Sihat dan dilibatkan dalam bidang pertanian.

“Istilah B40 itu telah lama digunakan Kerajaan Persekutuan dalam merancang bajet khasnya untuk menyasarkan insentif tertentu kepada kumpulan tersebut.

“Persoalannya bagaimanakah kerajaan negeri mahu melakukan inisatif terhadap kumpulan B40 ini? Adakah ianya tepat pada kelompok sasar dan pengagihannya adil? Adakah ia hanya menyasarkan kelompok tertentu untuk meraih sokongan undi seperti program Jom Shopping yang hanya gah nama saja tetapi tidak adil dan menyeluruh? soalnya.

Kerajaan Persekutuan ujarnya dalam menyasarkan golongan B40 antaranya beliau menyebut program dilaksanakan dengan mengadakan MySuria (pasang panel solar terima RM250 sebulan); Mobilepreneur (RM100,000 untuk motorsikal,peralatan dan latihan berniaga);Agropreneur (bimbingan percuma dan pembiayaan Agrobank/Tekun sehingga RM300,000).

“Itupun kerajaan negeri tak belajar habis kerana tiada inisiatif atau insentif untu kumpulan berpendapatan lebih Rm3,900 (M40).

“Mana bahagian M40 dalam pembahagian Bajet SMART Selangor 2017?,” soalnya lagi.

Dalam perbelanjaan persekutuan, golongan M40 diberikan insentif pelepasan cukai gaya hidup sehingga RM2500 bagi bayaran keahlian gymnasium, pembelian komputer, smartphone/tablet,bahan bacaan, peralatan sukan, langganan internet dan suratkhabar.

Barisan Nasional Selangor juga sangsi dengan laporan ekonomi kerajaan negeri bahawa prestasi ekonomi negeri Selangor bagi 2017 kekal pada pertumbuhan 5.0-5.5 peratus kadar sama pada 2016.

Bagaimana angka unjuran itu diperoleh sedangkan kadar pertumbuhan yang sama pada 2016 ketika pertumbuhan ekonomi negara dan dunia sederhana kesan daripada ketidaktentuan pasaran kewangan global.

“Apakah ada data-data ekonomi yang menyokong dakwaan ini?

“Ini kerana kedududukan ekonomi dunia yang amat tidak menentu dan unjuran mestilah lengkap meliputi semua sektor dalam ekonomi.

“Mestilah ada data unjuran sub sektor seperti pembuatan, perkhidmatan dan pertanian bukan secara umum sahaja,” ujarnya ketika membahaskan Bajet Selangor 2017 semalam.

Mat Nazari yang juga Adun Batang Kali berkata, Belanjawan Selangor 2017 dengan rizab negeri sejumlah RM3.62bilion pada 14 Oktober 2016 walaupun dilihat tinggi namun peningkatan itu tidak akan berlaku tanpa BN membina asas ekonomi kukuh sejak memerintah negeri itu sebelum pakatan pembangkang mengambil alih pada 2008.

“Apalah guna rizab berbilion ringgit kalau asyik seronok mengira tetapi rakyat di bawah menderita, tiada air, ban pecah, banjir dikawasan tertentu, kegiatan ekonomi tidak rancak dan sebagainya,” ujarnya.

TAGS