Baling mikrofon tanda marah dan kecewa Mat Sabu

Baling mikrofon tanda marah dan kecewa Mat Sabu

Bukan sekadar seni pengucapan awam yang menarik tetapi tindakan spontan membaling mikrofon di atas pentas adalah terjemahan kepada perasaan marah dan kecewa Presiden Amanah Mohamad Sabu terhadap sikap rakyat Malaysia.

Anuar TahirBukan sekadar seni pengucapan awam yang menarik tetapi tindakan spontan membaling mikrofon di atas pentas adalah terjemahan kepada perasaan marah dan kecewa Presiden Amanah Mohamad Sabu terhadap sikap rakyat Malaysia.

Bagi Setiausaha Agung Amanah Anuar Tahir yang turut bersama pada Himpunan 365 #BebasAnwar di hadapan Penjara Sungai Buloh Ahad lalu, tindakan Mohamad itu sudah pasti akan lebih diingati oleh orang ramai.

“Tak sampai lima minit beliau berucap, empat minit lebih kurang itu digunakan dengan baik sekali untuk menyampaikan mesej dan secara spontan melakukan satu aksi yang menyebabkan ucapannya itu akan lebih diingati.

“Lemparan mikrofon itu sebagai dramatik kepada perasaan kecewanya. Ia sebagai satu seni pengucapan awam yang menarik dan hanya pemidato-pemidato hebat sahaja yang berani melakukan aksi begitu,” katanya ketika ditemui Malaysia Dateline di Wisma Amanah, Kuala Lumpur.

Menjawab sesetengah pandangan sinis bahawa setiap ucapan seharusnya diakhiri dengan laungan takbir seperti kebiasaan dalam ceramah Pas dahulu, Anuar berkata sesuatu aksi itu biar kena pada tempat dan situasi.

“Beliau mengemukakan pandangan bahawa kita masih belum cukup berani (melawan kerajaan). Takkan kita nak takbir? Bila beliau cakap ada rakyat yang pengecut, takkan nak takbir Allahuakbar.

“Mesej yang dibawa malam itu memang tepat dan orang semua terdiam. Dalam keadaan semua ucapan positif, Mohamad mengambil kesempatan untuk tukar tempo, kena sebut juga yang negatif, kelemahan rakyat di Malaysia.

“Kalau dah terlampau menjolok sangat orang akan memberontak tetapi di Malaysia orang marah begitu-begitu sahaja. Apabila Mohamad membawa pendekatan itu, ia sesuai dengan keadaan,” katanya.

Anuar yang merupakan bekas pelajar dalam bidang komunikasi turut menyifatkan Mohamad sebagai komunikator yang hebat.

“Kepada semua pelajar komunikasi harus belajar. Orang yang bercakap mesti menguasai pemikiran, dapat sampaikan pemikiran dan mesej dengan baik. Mohamad memang seorang komunikator yang hebat.

Beliau turut menceritakan pengalaman mendengar sendiri ucapan pemimpin-pemimpin dunia yang disifatkan sebagai sangat berpengaruh.

“Saya pernah menghadiri seminar parti-parti politik Asia di Manila pada tahun 2000 sewaktu saya menjadi setiausaha Parti Keadilan Nasional dan saya melihat pelbagai tokoh dengan gaya ucapan masing-masing seperti Fidel V. Ramos, Joseph Estrada, Benazir Bhutto.

“Fidel V Ramos misalnya dia mencampakkan teks ucapan dia berpuluh-puluh helai sambil berucap,  bagi saya ini satu daya penarik. Orang-orang yang hebat sahaja boleh buat kejutan begitu dan kejutan itu akan diingat.

“Sekarang sudah 16 tahun berlalu tapi saya masih ingat lagi peristiwa itu. Sebagai komunikator yang hebat Mohamad berjaya mengingatkan kita kepada mesejnya,” katanya.

TAGS