Bangkit Memali: Adakah Musa mahu serang Tun Mahathir, bela Najib?

Bangkit Memali: Adakah Musa mahu serang Tun Mahathir, bela Najib?

Ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menyerang kepimpinan Datuk Seri Najib Razak, tindakan bekas timbalan perdana menteri dibawah beliau, Tun Musa Hitam membangkitkan sekali lagi isu Memali disifatkan sebagai untuk membela Najib.

“Hahaha… Musa akan digunakan untuk pertahan Najib dan Umno/BN,” kata ahli parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau berkata demikian dalam satu komen ringkasnya terhadap berita yang memaparkan Musa berkata beliau penat tanggung beban jadi ‘kambing hitam’ peristiwa Memali yang disiarkan oleh sebuah portal berita.

Musa adalah timbalan perdana menteri dan menteri dalam negeri manakala Mahathir adalah perdana menteri ketika peristiwa Memali berlaku.

Peristiwa Memali pada 19 November 1985, menyaksikan 14 orang maut dalam pertempuran antara polis dan penduduk kampung.

Insiden berlaku ketika polis cuba menahan Ibrahim Libya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana didakwa mengamalkan ajaran sesat.

Dalam ruangan Obviously Harith Iskandar (OHI) malam tadi, Musa Hitam mengakui beliau sudah penat menanggung beban sejarah menjadi ‘kambing hitam’ dalam peristiwa Memali.

Jelas Tun Musa, situasi tidak menyebelahi beliau hingga dipersalahkan sebagai individu yang bertanggungjawab ke atas peristiwa berdarah berkenaan.

Katanya, dalam perjalanan politik beliau, peristiwa Memali dianggap paling kontroversi. Kerana peristiwa itu, beliau dikaitkan dengan gelaran pembunuh.

Musa Hitam dalam OHI“Signifikan peristiwa Memali adalah mudah, selama 30 tahun saya dikatakan menjadi pembunuh, bolehkan anda bayangkan?

“Pembangkang menyalahkan Umno dan saya sebagai individu yang bertanggungjawab, dan ‘rakan-rakan’ saya dalam Umno, apabila situasi ini berlaku, mereka meninggalkan saya.

“Mereka seolah-oleh mengatakan biarlah Musa menjadi ‘kambing hitam’ daripada kami,” kata beliau.

Musa mula menceritakan apa yang berlaku dalam peristiwa Memali dalam bukunya ‘Frankly Speaking’

Sebelum ini, Tun Mahathir juga pernah dijemput untuk menjadi tetamu dalam OHI namun ia telah disekat oleh pihak kerajaan.

Dalam rancangan OHI malam tadi, turut menjadi tetamu Harith adalah Nurul Izzah Anwar dan Alex Yoong.

Ketika ditanya apakah pandangan beliau kepada soalan jika ditanya kepada Google bila ditanya “Politician are….”, Musa mulanya berkata, beliau tidak tahu bagaimana menggunakan google.

Namun kemudian beliau menjawab, ‘Politician are liars’, (Ahli politik adalah penipu) dan ia adalah jawapan utama Google ketika ditaipkan perkataan ‘Politician are…”.

 

TAGS