Bangsa Malaysia: Aspirasi dan Wawasan

Bangsa Malaysia: Aspirasi dan Wawasan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Setelah 59 tahun merdeka, kita masih bertanya apakah “bangsa Malaysia” dalam erti yang sebenarnya sudah wujud secara nyata dan tuntas? Memang ironis, tetapi demikianlah kenyataannya, selama berdekad-dekad kita hanya dapat berbicara tentang warga negara Malaysia dan tentang perpaduan kebangsaan atau integrasi nasional, tetapi masih belum dapat dengan yakin dan pasti berbicara tentang “bangsa Malaysia” sebagai suatu realiti.

Tentu ada alasannya apabila Rustam A.Sani, seorang intelektual rakyat menulis pada tahun 2006, “Political events in Malaysia during the last few years have convinced me that Malaysia is just a state without nation -or at least, a state with several competing nations”. (Rustam A.Sani, 2008:59). Wawasan 2020 yang diungkapkan pada tahun 1991 meletakkan pembentukan bangsa Malaysia di puncak urutan sembilan cabaran yang harus ditangani. Hanya tinggal lapan tahun sahaja lagi untuk kita menyaksikan terlaksana atau tidaknya wawasan pembentukan bangsa Malaysia yang bersatu,”…sejahtera, terintegrasi wilayah-wilayah dan kelompok-kelompok etniknya, menikmati kehidupan bersama yang sepenuhnya berasaskan persamaan hak dan keadilan, membentuk sebuah Bangsa Malaysia dengan rasa taat setia dan pengabdian yang tidak berbelah bagi terhadap bangsa tersebut”.

Harus diakui, membentuk bangsa memang tidak mudah, apa lagi dalam konteks Malaysia dengankemajmukan masyarakatnya yang berpangkal dari dasar “pecah-perintah”; era penjajahan Inggeris.

Latar sejarah yang sedemikian menjadikan integrasi nasional yang dipupuk selepas kemerdekaan suatu yang sangat rapuh. Hubungan antara kaum banyak diasaskan pada politik akomodasi dan kompromi.

Bagaimanapun pendekatan ini tidak selamanya dapat dilaksanakan dengan lancar kerana politik tawar-menawar antara kaum itu selalu dilatari prasangka dan kecemburuan ras yang tebal.

Kesedaran tentang keperluan penggagasan faham berbangsa dan bernegara dalam konteks kemajmukan sebenarnya telahpun tumbuh seawal tahun-tahun 1940an lagi. Gabungan PUTERA-AMCJA dapat dirujuk sebagai wadah gerakan politik pelbagai kaum yang dengan serius menangani isu bangsa dan negara Malaya. Gerakan kerakyatan tersebut telah menghasilkan Perlembagaan Rakyat (1947), sebuah gagasan bersama yang mencerminkan kesepakatan rakyat pelbagai kaum tentang kehidupan berbangsa dan bernegara pada masa hadapan, dan sekaligus penolakan kolektif terhadap perlembagaan Malayan Union tajaan penjajah. Antara yang perlu dicatat sebagai pencapaian penting era tersebut ialah penggagasan nation of intent, bangsa Malaya seluruhnya disebut Melayu.

Petikan dari buku Pembinaan Bangsa: Kepelbagaian Dalam Bingkai Kesatuan, oleh Prof. Dato Dr. Siddiq Fadzil terbitan Institut Darul Ehsan (IDE).

Mengenai isu kebangsaan Melayu tersebut Dr.Burhanuddin al-Helmiy, pemikir dan pejuang politik yang serius, telah mengemukakan faham kebangsaan Melayu sebagai ideologi nasional, ideologi pemersatu rakyat pelbagai kaum. Sebagai ideologi nasional, faham kebangsaan Melayu dalam konteks ini tidak bersifat eksklusif, terbatas hanya untuk kelompok baka Melayu sahaja. Sebaliknya, ia bersifat inklusif, meliputi golongan bukan dari baka Melayu yang telah putus hubungan dengan kebangsaan asal. Ideologi nasional pembentuk kesatuan bangsa sebagaimana yang diungkapkan oleh Dr. Burhanuddin al-Helmiy itu ternyata memiliki kekuatan idea dan kekentalan semangat yang terumus dalam lima "rukun jiwa kebangsaan ” i. Ketuhanan Yang Maha Esa, ii. Kebangsaan, iii. Kedaulatan Rakyat, iv. Persaudaraan Sejagat, dan v. Keadilan Masyarakat. (Kamaruddin Jaffar, 1980:113-121).

Sayang sekali, pemikiran tentang gagasan bangsa yang terhasil dari perahan otak, kerjasama, toleransi dan tentunya juga pengorbanan pelbagai golongan rakyat pejuang kemerdekaan itu tidak sempat teraktualisasi akibat tindakan supresif penjajah yang mempunyai agenda sendiri, kepada siapa kemerdekaan akan diserahkan, dan bagaimana rupa masyarakat yang akan mereka tinggalkan.

Memang demikianlah kenyataannya, Inggeris mewariskan masyarakat pelbagai kaum korban dasar pecah-perintah yang sangat fragile, rapuh, terpisah-pisah dan terkurung dalam kepompong budaya kaum masing-masing.

Pembentukan satu bangsa terasa suatu yang masih terlalu jauh. Yang dapat dilakukan hanya sebatas mewujudkan perpaduan antara kaum yang disebut integrasi nasional melalui beberapa dasar integratif seperti Bahasa Kebangsaan, Dasar Pelajaran Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan kemudiannya Rukun Negara.

Dasar-dasar tersebut pada umumnya memang memiliki kekuatan integratif yang boleh menjadi landasan proses pembinaan satu bangsa, tetapi ketegasan pelaksanaannya yang musim-musiman menjadikannya kurang berkesan. Dari semasa ke semasa sikap dan perilaku racist atau perkauman sempit terus menggejala dan akhirnya memuncak pada peristiwa tragik 13 Mei 1969.

Pembinaan bangsa dalam konteks Malaysia harus berasaskan formula kepelbagaian dalam kesatuan. Kita harus dapat bersikap positif, melihat dan menerima kepelbagaian kaum, agama dan budaya bukan sebagai sumber konflik, sebaliknya sebagai aset kekuatan, kekayaan, kreativiti dan dinamika kemajuan.

Bangsa tidak dapat dibina menerusi formula melting pot atau kawah besar peleburan. Tidak ada golongan yang rela jati dirinya dilebur. Kebinekaan atau keragaman budaya tidak menjadi masalah, andainya ia diletakkan dalam bingkai keekaan atau kesatuan. Formula kepelbagaian dalam kesatuan adalah selaras dan serasi dengan fitrah dan sunnatulLah. Tema inilah yang dihuraikan dengan cukup menarik oleh Dr.Muhammad `Imarah dalam bukunya, al-Islam wa al-Ta`addudiyyah: al-Ikhtilaf wa al-Tanawwu` fiItar al-Wihdah (Islam dan Pluralisme: Perbezaan dan Kepelbagaian dalam Bingkai Kesatuan).

Segala kewujudan yang kita saksikan pada alam dan kehidupan semuanya memancarkan hakikat kepelbagaian dalam kesatuan — keesaan Pencipta dengan kepelbagaian makhluk ciptaan-Nya; kesatuan keinsanan dengan kepelbagaian bangsa, warna dan bahasanya; kesatuan agama Allah dengan kepelbagaian syari`atnya; kesatuan syari`at dengan kepelbagaian fiqh, mazhab dan ijtihadnya.

Fitrah sunnatuLlah berupa kepelbagaian dalam bingkai kesatuan itulah yang diaplikasikan oleh Rasulullah s.`a.w. dalam pembinaan ummah negara Madinah sebagaimana yang tercermin dalam perlembagaan ulung Sahifah Madinah sebuah perlembagaan yang dilatari kepelbagaian kabilah, agama dan budaya warganya. Lewat Sahifah tersebut Rasulullah s.`a.w.  telah membentuk ummah:ummah diniyyah (umat keagamaan) dan ummah siyasiyyah (umat politik).Ummah diniyyah bersifat eksklusif dan terbatas hanya untuk kaum Muslimin (annahum ummatun wahidatun min dunin-nas), sementara ummah siyasiyyah bersifat inklusif meliputi kaum Muslimin dan orang Yahudi (wa anna Yahuda Bani `Awfummatun ma`aminin). Kata kunci dalam ungkapan pembentukan ummah politik ini ialah kata ma`a (bersama) iaitu orang Yahudi bersama kaum Muslimin membentuk satu umat (umat Madinah). Ungkapan ma`a al-Muslimin (bersama kaum Muslimin), bukan min al-Muslimin (sebahagian daripada kaum Muslimin), bererti bahawa masyarakat Yahudi tidak menjadi bahagian daripada umat (keagamaan) Islam, tetapi menjadi bahagian daripada umat (politik) Madinah bersama dengan umat Islam.

Peruntukan dalam Sahifah tersebut jelas memberikan status kewarganegaraan penuh (al-muwatanah al-kamilah) kepada masyarakat Yahudi. Sebagai warga umat dan negara Madinah status, hak dan tanggungjawab mereka sama dengan umat Islam. Mereka bukan warganegara kelas dua. Persamaan hak dan tanggungjawab tersebut dicatat dengan ungkapan li al-Yahud dinuhum wa li al-Muslimin dinuhum (Yahudi dengan agama mereka, dan kaum Mukminin dengan agama mereka).

Ertinyanya perlembagaan ini memberikan hak kebebasan beragama dan membenarkan para penganut pelabagai agama mengamalkan agama masing-masing dan mengekalkan jati diri keagamaan masing-masing. Persamaan tanggungjawab pula dicatat dengan ungkapan wa anna al-Yahuda yunfiquna ma`a al-Mu’minin adamu muharibin (masyarakat Yahudi dan kaum Mukminin sama-sama membiayai peperangan apabila negara Madinah diserang). Hak dan tanggungjawab yang sama juga diberikan kepada kabilah-kabilah Arab yang ikut menjadi warga Sahifah Madinah. Persamaan hak dan tanggungjawab kewarganegaraan antara Muslim dan bukan-Muslim itulah yang kemudiannya terumus dalam prinsip lahum ma lana, wa `alayhim ma `alayna (mereka berhak mendapat apa yang kita dapat, dan memikul tanggungjawab yang sama kita pikul) Demikianlah antara yang tercermin dalam Sahifah Madinah, sebuah perlembagaan Islami yang disemangati kepelbagaian dalam bingkai kesatuan (al-tanawwu` fi itar al-wihdah).

Bagi rantau ini kepelbagaian dan kemajmukan sudah menjadi bahagian daripada sejarah dan kebudayaannya. Hampir semua agama dan tamadun besar dunia — Islam, Kristian, Hinduisme, Buddhisme, Konfusianisme — telah hadir dan hidup berdampingan dengan harmonis selama berabad-abad. Keunikan rantau ini sebagai daerah terkaya dengan pengalaman dialog ketamadunan memberikan harapan dan optimisme kemampunan membina kesatuan bangsa berlandaskan kalimatin sawa’ dalam pengertian perkongsian suatu set nilai yang disepakati.

Pembinaan bangsa berasaskan nilai-nilai bersama sudah pasti memerlukan mekanisme yang berkesan. Untuk itu pendidikan merupakan wahana nation building yang terbaik. Justeru, esensi pendidikan tidak lain adalah the transmission of values atau pemindahan nilai dari generasi ke generas. Nilai-nilai yang diwariskan itulah yang membentuk watak bangsa. Dalam konteks negara kita, Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah pencitraan watak bangsa yang diaspirasikan, “…rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.” Yang selalu dipermasalahkan ialah soal sejauh mana kepedulian kita terhadap falsafah tersebut?

Apakah seluruh komponen pendidikan — kurikum, buku teks, pengajaran dan pembelajarannya mendukung matlamat pembinaan watak bangsa seperti yang dicitrakan? Yang jelas obsesi pendidikan kita lebih tertumpu pada pencapaian prestasi akademik dan pembinaan kemahiran, tanpa perhatian yang secukupnya pada aspek pembinaan watak. Seorang penuntut yang membaca falsafah pendidikan tersebut akan berasa dirinya terkeluar dari kelompok manusia yang bercitra seperti itu. Baginya manusia yangdicitrakan dalam Falsafah Pendidikan Negara itu adalah sejenis makhluk asing.

Fenomena mutakhir dalam sejarah perkembangan masyarakat majmuk di Malaysia mengisyaratkan tumbuhnya kesedaran tentang idealisme dan aspirasi bersama yang merentasi persempadanan kaum.

Mereka mulai bersatu memperjuangkan nilai-nilai kemanusiaan, keadilan, demokrasi dan integriti.

Mereka bersatu melawan gejala kebejatan: kezaliman, diskriminasi, rasuah, kronisme, pembaziran, penipuan dan kecurangan. Sebuah parti politik pelbagai kaum muncul sebagai suatu kekuatan baru yang tidak boleh diremehkan. Segala perkembangan tersebut memang membawa erti dan implikasi besar terhadap eksperimen menangani pluralisme di negara ini. Namun cabaran-cabaran yang harus dihadapi tidak sedikit dan tidak kecil. Masa depan eksperimen penting ini akan banyak bergantung kepada kebijaksanaan dan kewibawaan para pemimpinnya dalam membina wawasan dan gagasan nasional yang kuat, realistik dan meyakinkan.

Kegagalan memupuk persefahaman, toleransi dan pendewasaan politik di kalangan warga parti-parti yang berkaitan akan menjadikan fenomena ini suatu perkongsian rapuh yang hanya didasari perkiraan-perkiraan politik pragmatik semata-mata.

Demikian perkembangan yang berlaku di satu pihak, sementara di pihak lain kita menyaksikan usaha memperlihatkan komitmen membina kesatuan bangsa. Di mana-mana ada slogan, simbol dan retorik serba satu. Tetapi pada masa yang sama timbul pula gejala disintegrasi bangsa: membangkitkan semangat perkauman, menimbulkan rasa tidak selamat di kalangan masyarakat tertentu, mengungkit-ungkit tragedi ngeri 13 Mei, mengusung "fatwa" sembrono menghukum segolongan rakyat sebagai kafir harbiy, membiarkan, kalaupun tidak menggalakkan, tindakan-tindakan liar dan provokatif, kekerasan, keganasan dan kebiadaban. Mudah-mudahan rakyat Malaysia cukup cerdas dan bijaksana menafsir dan menyikapi gejala baru: politik pecah-perintah dan perintah memecah.

Semoga Allah berkenan mengurniakan kita petunjuk dan kekuatan menjayakan eksperimen besar pembentukan bangsa berasaskan acuan Perlembagaan Madani:kepelbagaian dalam bingkai kesatuan.

Prof. Dato Dr. Siddiq Fadzil adalah Pengerusi Institut Darul Ehsan – IDE

CATEGORIES
TAGS