Bangunkan sejarah rakyat bukan tumpu elit semata-mata

Bangunkan sejarah rakyat bukan tumpu elit semata-mata

Sejarah rakyat mesti banyak menumpukan perhatian kepada peranan golongan masyarakat lapisan bawahan, saran bekas Profesor Universiti Malaya (UM), Dr Syed Husin Ali.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Sejarah rakyat mesti banyak menumpukan perhatian kepada peranan golongan masyarakat lapisan bawahan, saran bekas Profesor Universiti Malaya (UM), Dr Syed Husin Ali.

Bentuk pendekatan sejarah tersebut, ujarnya, berbeza dengan sejarah rasmi yang mengutamakan sejarah golongan yang menang atau memerintah.

“Sejarah rakyat bukan mengagungkan peranan individu akan tetapi mengangkat peranan yang dimainkan oleh gerakan rakyat termasuk kesatuan pekerja, kaum petani, pertubuhan wanita, mahasiswa dan masyarakat Orang Asli.

“Mereka ini selalu ditinggalkan atau tidak dipandang begitu penting dalam sejarah rasmi. Namun, tidak bererti pula sejarah rakyat tidak mengiktiraf sama sekali individu-individu yang memainkan peranan penting,” jelasnya dalam ucaptama Seminar Falsafah Sains Sosial di Pejabat Adun Kajang, Selangor semalam.

Menurut bekas Senator itu, sejarah rakyat yang merupakan alternatif kepada sejarah rasmi dan masih belum meluas itu perlu memberi perhatian sewajarnya kepada Sabah dan Sarawak serta meletakkan sejarah Malaysia dalam konteks hubungan wilayah sekitar.

Mengulas lanjut tentang sejarah rasmi, beliau berkata sejarah seolah-olah diperalat untuk menjamin pihak yang memerintah untuk terus berkuasa.

“Lama sebelum Umno-Perikatan telah wujud Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) bahkan kerjasama Putera dengan lebih 80 pertubuhan Melayu bersama AMCJA (Pusat Tenaga Rakyat – All Malayan Council of Joint Action),” ujarnya.

Walau bagaimanapun, Dr Syed Husin berkata, sejarah alternatif bukanlah sampai tahap memadamkan sama sekali peranan mereka yang diagungkan dalam sejarah rasmi.

“Yang perlu ialah mengemukakan keseimbangan yang adil berdasarkan fakta antara peranan kedua-dua pihak yang terlibat,” katanya lagi dalam seminar anjuran Akademi Sains Islam Malaysia (Asasi).

TAGS