Banjir ini tanda kerajaan negeri sudah “defunct”

Banjir ini tanda kerajaan negeri sudah “defunct”

 Fenomena bah di darat akibat dari tiada sistem longkang dan perparitan yang lengkap sehari dua ini telah mengesahkan satu sahaja perkara:

Kerajaan yang gagal menyediakan infrastruktur saliran yang mencukupi dan sistematik. Itu sahaja.

Dalam hal mencari kambing hitam seperti yang gemar dilakukan oleh pemimpin gagal 2017, amalan membaling punca masalah kepada orang ramai yang tak jaga parit masing-masing atau bacaan jumlah (volume) hujan yang turun menyalahi amalan adalah klise.

Jika katakan dalam isu pertama, semua orang mencuci dan menjaga longkang di sekitar premis masing-masing sekalipun, selesaikah jika tiada sistem perparitan yang lengkap diasaskan kepada pemerhatian, kajian dan syor dari juru perunding?

Di peringkat ini, jangan salahkan rakyat jika tertanya-tanya, telah wujudkah sistem perparitan yang menyeluruh bagi setiap jajahan setiap satu? Jika ada, tunjukkan di mana dan paparkan di papan notis sebagaimana pelan zoning dan pelan perancangan tempatan CBD. Itupun, rakyat nak tahu, dibuat bila tahun berapa?

Telah dilaksana atau/dan sedang dipatuhi pelaksanaannya? Atau, ia sudah “obselete” – telah habis tempoh sah lakunya sejak lama dahulu kerana ia telah terpecat jauh dengan realiti pembangunan dan syarat guna tanah setempat yang telah mengalami transformasi total sejak awal merdeka lagi ?

Jika gagal menjawab persoalan ini, maka akuilah yang inilah punca masalah landaan banjir darat yang sedang membawa beban ke muka tangga setiap rakyat.

Alasan tiada peruntukan, itu biasa. Jika dah tahu ini puncanya, maka sudahkah ia dinaikkan dalam dokumen bajet 2017 dan diperbahas dan diluluskan. Jika ya, tunjukkan. Boleh juga rakyat lihat untuk disemak.

Sekali lagi, jangan salahkan rakyat jika mereka mahu lihat dan pastikan yang pemimpin mereka bercakap benar dan tiada khianat.

Jika kerajaan Negeri memang tiada peruntukan, sudahkah dibawa berbincang dengan Pengarah JPS untuk kemukakan pelan konsep perparitan yang menyeluruh via J’kuasa exco yang berportfolio; dilantik oleh Kerajaan Negeri?

Telah dibawakah cadangan rasmi kepada Kerajaan Persekutuan demi membuktikan kerajaan Negeri sememangnya serius untuk mengatasi perkara ini? Jika sudah dibawa ke meja bulat mesyuarat di Putrajaya misalnya, bila dan apa hasilnya? Dapatkah geran yang dipohon atau pinjaman mudah yang Kerajaan Pusat telah persetujui? Bila boleh dibuka tender?

Tawaran dibuka, tawaran ditutup, letter of award ? Telah wujudkah sistem pengesanan secara berj’awatankuasa untuk membuat monitoring bulanan ke atas kemajuan pelaksanaan sama ada kemajuan fizikal atau kemajuan kewangan? Sekali lagi; jika ada, mana dan jika tiada; kenapa? Ini semua parameter yang mampu mengukur kekesanan sesebuah entiti kerajaan tempatan atau kerajaan negeri.

Jika itu tiada ini tiada, maka ini semua menunjukkan tanda. Tanda bahawa kerajaan ini sudah “defunct” . Ia sudah kehilangan segala sebab kewujudan atau disebut “reason de’ atre”nya.

Banjir dan bah adalah fenomena tahunan. Kata orang muda, “this is Kelantan and this is east coast”. Takkan tak tahu. Lembah ini adalah lembangan kegemaran lautan air setiap Disember cum Januari.

Tiadalah yang lebih malang bagi seorang penunggang apakala dia tidak sedar yang dia sedang tunggang kuda buta. Lainlah jika kuda itu hanya seekor itu sahaja dan ia tidak boleh ditukar ganti.

Mungkin inilah masanya Amanah sedang menjadi kuda merah berpelana lebar yang sedang gagah menunggu; dia sudah sedia mengambil alih. Bersama mereka tersedia 50 profesional pelbagai guna di pelbagai bidang. Jika kerajaan Negeri sudah terbukti tidak mampu; cuma hidup atas ihsan mesin “pace maker” dan cuma bijak bermain retorika berhiaskan ayat-ayat suci al Quran demi menyambung sepintal nyawa bagi memanjangkan hayat politik semata-mata sedangkan segala tuntutan dan tanggungjawab tidak dipenuhi.

Moga dunia tidak terlalu cepat dibinasa justeru terlalu lama kekalkan pemimpin yang tidak kenal alam dan mesra alam saat memimpin. Dia/ mereka yang sebetulnya rakus ini telah menjadi beban umat dan beban generasi. Tanpa sedar, mereka  sebahagiannya sedang rancak memanggil bala ; turun ke bumi.

CATEGORIES