Bantah persempadanan semula p’raya sebelum 14 Oktober

Bantah persempadanan semula p’raya sebelum 14 Oktober

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak menggesa pengundi di setiap Parlimen negeri itu mengggunakan masa yang berbaki sebelum 14 Oktober ini untuk melakukan bantahan berkaitan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengarah biro pilihan raya Pemuda Amanah Perak Ahmad Saqif Ansorullah berkata, bantahan itu sebagai mesej kepada pihak SPR agar institusi itu tidak sewenang-wenangnya melakukan tindakan yang memberikan manfaat hanya kepada parti politik tertentu.

“Pemuda Amanah Perak melihat ia suatu isu yang sangat penting dan wajar dipersoalkan kerana ia seolah-olah mahu menyelamatkan parti politik tertentu.

“Pemuda Amanah dan Pakatan Harapan menolak sekeras-kerasnya cadangan persempadanan ini kerana tidak memberikan manfaat positif,” katanya kepada Malaysia Dateline.

SPR melakukan kajian semula persempadanan bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah bermula 15 September lepas.
Syor kajian semula persempadanan itu mula dipamerkan bagi tempoh satu bulan bermula 15 September hingga 14 Oktober ini, untuk tujuan semakan dan bantahan.
Menurut Ahmad Saqif, komposisi pengundi di antara parlimen dengan sesebuah parlimen yang lain tidak seimbang disebabkan persempadanan ini.

Beliau memberi contoh Parlimen Larut yang disandang BN mempunyai pengundi seramai 31,001 ribu pengundi, berbeza dengan parlimen Taiping yang dimenangi pembangkang dengan pengundinya seramai 59,507 ribu.

“Kononnya persempadanan ini dilakukan untuk pemutihan kawasan pengundian, namun apa yang berlaku ialah terdapat banyak kepincangan dan keraguan terhadap perubahan yang dicadangkan oleh SPR.

“Beberapa persoalan yang timbul, adakah isu persempadanan semula ini berlaku kerana keperluan atau desakan?

“Pemindahan pengundi yang dilakukan melalui persempadanan ini seolah-olah berlaku usaha untuk mengumpulkan bangsa tertentu dalam sesebuah parlimen. Apakah ini cubaan untuk meniupkan semangat berbangsa-bangsa?” soalnya.

Sebelum ini, Pakatan Harapan Perak mendakwa terdapat sejumlah 30,173 pengundi dalam negeri Perak telah dipindahkan alamat dan pusat pengundi mereka tanpa menerima notis dari SPR.
Setelah merujuk kepada senarai pengundi-pengundi terbaru penggal suku kedua yang diwartakan oleh SPR pada 29 April lalu, didapati jumlah tersebut adalah jumlah paling besar jika dibanding dengan negeri-negeri yang lain.

Ia menunjukkan seramai 118,784 orang seluruh negara telah mengalami nasib yang sama dengan Perak menjadi negeri yang mempunyai pindaan dan hijrah jumlah pengundi yang paling tinggi seramai 30,173 orang atau sebanyak 25.4% dari jumlah tersebut.

Pakatan Harapan Perak juga mendapati, kawasan yang mengalami penghijrahan pengundi terbesar berlaku di 10 kerusi marginal yang mampu menentukan keputusan pilihan raya umum (PRU14) di Perak.

10 kerusi Dun tersebut mengalami secara purata penghijrahan pengundi seramai 1,814 orang di setiap Dun, satu keadaan yang cukup luar biasa.

Mereka mendapati dalam empat kerusi Dun, penghijrahan pengundi adalah lebih tinggi dari keputusan majoriti pada PRU13 dan mendakwa ia satu perubahan yang amat mengejutkan.

Keempat-empat kerusi Dun tersebut ialah Dun Selinsing, Changkat Jering, Pasir Panjang dan Changkat Jong.

TAGS