Banyak bantuan kewangan untuk nelayan diseleweng

Banyak bantuan kewangan untuk nelayan diseleweng

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Raja Bahrin Shah

Aspek kebajikan dan kemajuan golongan nelayan bukan sekadar bantuan kewangan semata-mata yang kemudiannya banyak diseleweng, tegas Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Raja Bahrin Shah.

“Bantuan kewangan seperti peruntukan membaiki rumah usang telah banyak diseleweng oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dari pejabat wakil-wakil rakyat tempatan mereka sendiri.

“Dua tahun lepas kita telah digemparkan dengan berita penyelewengan beratus-ratus ribu ringgit peruntukan untuk baiki rumah nelayan Terengganu kawasan Dungun dan Kemaman yang disalurkan melalui pejabat wakil rakyat.

“Sebahagian besar peruntukan beratus ribu ringgit tidak pernah sampai kepada mereka dan beberapa pegawai-pegawai pejabat ahli-ahli wakil rakyat telah di tangkap,” tegasnya semalam.

Beliau berkata, nelayan sebenarnya memerlukan bantuan teknikal bagi jangka masa panjang yang boleh membantu masa depan mereka serta mengharapkan sumber ikan di laut dilindungi termasuk daripada gangguan nelayan warga asing.

“Sudah tiga menteri berlalu dan pelbagai rombongan nelayan ke Parlimen tanpa hasil yang diharapkan. Pelbagai pihak keselamatan Jabatan Laut, Polis Marin, Jabatan Perikanan dan tentera laut sudah berpuluh tahun tidak menyelesaikan masalah mereka.

“Akibatnya ikan terus pupus dan dicuri oleh nelayan asing Vietnam manakala nelayan-nelayan kita terus diganggu dan diugut oleh mereka.

“Soalannya, kenapakah pihak berkuasa kerajaan begitu tidak bermaya atau tidak peka masalah nelayan-nelayan yang merupakan antara golongan termiskin dan tidak terbela begitu lama?

“Apabila aduan dibuat, pihak berkuasa meminta nelayan pula mengemukakan bukti. Bukankah ini tugas pihak berkuasa?” bidasnya.

Senarai pemegang lesen bot laut dalam dirahsiakan?

Menurut Pengerusi Amanah Negeri Terengganu itu, kerajaan juga tidak mengambil tindakan terhadap cadangan penggunaan pemantauan ‘surveilance’ oleh alat pesawat kecil ‘drone’.

“Kos membeli ‘drone’ ini hanyalah beberapa ribu ringgit berbanding jet-jet mewah yang telah dibeli kerajaan untuk kegunaan Perdana Menteri dan VIP dengan kos ratusan juta.

“Di manakah ‘political will’ kerajaan untuk menyelesaikan masalah-masalah nelayan kecil yang susah daripada terus ditekan oleh syarikat-syarikat perikanan bot besar tempatan yang dikuasai oleh VIP kenamaan tempatan?” soalnya.

Raja Bahrin berkata, permintaannya beberapa kali sebelum ini supaya kerajaan menyatakan senarai syarikat-syarikat bot laut dalam sehingga pada masa ini masih belum dilakukan.

“Kenapakah nama-nama syarikat-syarikat yang diberi lesen bot laut dalam besar ini dirahsiakan oleh kerajaan?  Adakah ini dikawal bawah Akta OSA (Rahsia Rasmi) juga? Kenapa ?

“Kalau kerajaan boleh menubuhkan ‘Sukarelawan Maritim Malaysia’ untuk kawasan ESSZONE (Zon Selamat Timur Sabah), kenapakah satu inisiatif yang sama tidak boleh dilakukan untuk nelayan-nelayan kita yang telah berpuluh tahun menderita?” soalnya lagi.

TAGS