Bauksit lebih bahaya berbanding vape, kata Mufti Perlis

Bauksit lebih bahaya berbanding vape, kata Mufti Perlis

Sikap pihak berkuasa agama khususnya majlis fatwa yang berdiam diri dalam isu bauksit ditegur Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Dalam status di laman facebook beliau yang dimuat naik semalam, beliau melahirkan kehairanan tentang sikap membisu para agamawan Islam terhadap isu bauksit sedangkan ia lebih merbahaya berbanding vape.

“Saya telah keluarkan kenyataan saya tentang isu bauksit di Pahang. Apabila saya lihat aktiviti tersebut telah mengancam manusia, alam, tumbuhan dan haiwan, saya rasa sedih dan dukacita.

“Bila isu vape timbul, JAKIM telah menjemput semua mufti bersidang khas untuk isu itu. Semuanya dijemput datang dari negeri masing-masing. Maaf, saya tidak hadir tetapi menghantar wakil.

“Di media massa,tokoh-tokoh agama juga berbual ‘sakan’ tentang isu vape yang boleh membahayakan penghisapnya. Kelihatan ustaz-ustaz bersemangat menentang vape. Tidak mengapa. Ma sha Allah,” tulis beliau.

Menurut beliau, adalah lebih baik jika isu bauksit diberikan perhatian yang lebih daripada isu vape kerana bauksit ternyata lebih berbahaya dari vape.

“Apakah munasabah Islam hanya mengharamkan vape, tapi mendiamkan diri dalam isu yang jauh lebih besar dan bahaya? Apakah pandangan agama hanya untuk rakyat bawahan sahaja, tetapi ‘sunyi’ segala dalil apabila membabitkan urusan atasan?” soal beliau.

Beliau turut melahirkan kebimbangan jika generasi muslim yang cerdas berfikir dan golongan bukan muslim akan salah faham terhadap Islam disebabkan sikap sebegini.

Menurutnya, Islam itu akan dilihat indah jika melepasi batasan kepentingan ‘orang agama’ dan penguasa namun akan kelihatan tidak indah jika dikendalikan secara tidak seimbang.

TAGS