Bauksit: Peneroka ditipu perlu buat aduan kepada Jawatankuasa Penyelaras

Bauksit: Peneroka ditipu perlu buat aduan kepada Jawatankuasa Penyelaras

Jawatankuasa Penyelaras Bertindak Bauksit Bukit Goh, Kuantan meminta peneroka yang berdepan masalah berkaitan perjanjian pajakan tanah dan merasa mereka ditipu, tampil membuat aduan.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Jawatankuasa Penyelaras Bertindak Bauksit Bukit Goh, Kuantan meminta peneroka yang berdepan masalah berkaitan perjanjian pajakan tanah dan merasa mereka ditipu, tampil membuat aduan.

Pengerusinya Datuk Dr Abdul Wahid Manap berkata tindakan itu memudahkan pihaknya mengenal pasti peneroka yang ditipu pengusaha bauksit haram, sekali gus dapat menghulurkan bantuan sewajarnya bagi meringankan beban mereka.

“Kita tahu ramai juga kena tipu dengan pengusaha bauksit namun, tidak ramai yang tampil memberitahu kita. Peneroka yang datang minta bantuan kita hanya tiga orang.

“Masalah peneroka ini dapat kita selesaikan,” katanya kepada pemberita selepas bertemu dengan wakil beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) dari Kuala Lumpur.

Abdul Wahid berkata penubuhan jawatankuasa itu tidak mempunyai kepentingan tertentu kerana ia ditubuhkan khusus bagi membantu peneroka yang terlibat dengan isu perlombongan bauksit.

Dalam pada itu, Abdul Wahid berkata kos yang diperlukan untuk menanam semula kelapa sawit di setiap 10 ekar tanah yang telah dikorek bagi perlombongan bauksit, dianggarkan bernilai RM40,000.

“Ini anggaran sahaja, mungkin lebih. Namun, jumlah ini tidak termasuk kos meratakan semula tanah yang sudah dikorek. Jika ada pengusaha bauksit mengorek tanah dan membiarkannya begitu sahaja, bagaimana peneroka hendak mengusahakan tanah mereka selepas itu ,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan membangunkan kawasan perumahan di Felda Bukit Goh, beliau secara peribadi tidak bersetuju dengan rancangan itu kerana ia boleh melenyapkan tujuan asal pembukaan Felda untuk perladangan kelapa sawit.

“Felda adalah kawasan hijau kelapa sawit yang perlu dikekalkan,” katanya.

Justeru itu, beliau berharap tanah di Felda Bukit Goh dapat dibaik pulih untuk menanam semula kelapa sawit dengan sokongan dan bantuan pihak kerajaan termasuk Felda.

“Kita hendakkan pertolongan daripada Felda termasuk memohon Perdana Menteri (Datuk Seri Mohd NajibRazak) membuat pertimbangan sewajarnya agar dapat menyelesaikan masalah ini dengan baik bagi membantu golongan peneroka yang kebanyakannya berpendapatan rendah,” katanya.

Mengenai pertemuan dengan beberapa NGO itu, Abdul Wahid berkata ia bertujuan membincangkan bantuan khidmat guaman yang boleh diberikan kepada peneroka berhadapan masalah perjanjian yang ditandatangani dengan pengusaha bauksit.

“Pertemuan ini untuk memberitahu peneroka yang ada masalah dengan perjanjian supaya berjumpa dengan NGO ini bersama-sama pihak jawatankuasa,” katanya.

 

TAGS