Bebas segera Orang Asli ditahan, desak NGO

Bebas segera Orang Asli ditahan, desak NGO

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Sebuah NGO, Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) menggesa pihak berkuasa membebaskan segera 41 Orang Asli yang kini ditahan polis di Gua Musang Kelantan.

Presidennya Hafizudin Nasarudin berkata Insiden ini tidak akan berlaku jika pihak berkuasa negeri sendiri menghormati dan mengikuti garis panduan/manual pembalakan dan pembukaan ladang Hutan Akta Perhutanan Negara 1984 dengan memilih kawasan yang kurang sensitif untuk pembukaan ladang hutan daripada memilih hutan simpan yang kaya spesis dan mempunyai kepentingan sosial yang penting.

“Kuasa menggesa pihak berkuasa membebaskan segera rakan-rakan orang Asli yang ditahan.

“Kuasa juga mendesak pihak kerajaan negeri dan Jabatan Perhutanan sebagai agensi pelaksana menghentikan segera aktiviti yang menzalimi alam dan masyarakat orang asli ini serta bertanggungjawab dalam segala kemudaratan dan kemusnahan yang telah terjadi.

“Pihak berkuasa harus ingat bahawa bukan orang Asli yang melanggar undang-undang, sebaliknya pihak kerajaan negeri yang terlebih dahulu melanggar undang-undang peraturan mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan yang viral di media sosial hari ini.

Kuas katanya, juga menggesa seluruh rakyat untuk solidariti bersama masyarakat orang Asli Temiar Gua Musang dan Orang Asli di seluruh negara amnya dalam perjuangan mereka mempertahankan khazanah alam.

“Kuasa mengiktiraf peranan orang Asli sebagai penjaga alam yang menjaga sumber-sumber bekalan air kita, sumber oksigen, makanan, biodiversiti dan pengawalan bencana,” katanya.

Menurutnya, perjuangan masyarakat orang Asli Temiar bukan baru lagi.

“Mereka telah mula berjuang sejak 5 tahun yang lalu lagi dan telah mernggunakan pelbagai jalan yang ada termasuk berunding, bermesyuarat, berdialog dan berhimpun secara aman di hadapan pejabat SUK Kelantan.

“Namun segalanya menemui jalan buntu dan tidak dilayan kerajaan negeri.

Kemuncaknya kata beliau, mereka terpaksa melakukan halangan ‘blockade’ di Pos/Kampung mereka setelah keadaan sudah mencapai sampai tahap kritikal yang mana ada yang jatuh sakit ekoran meminum daripada bekalan air yang penuh dengan lumpur, koridor pencarian sumber makanan/herba dan kepentingan ekologi yang lain.

“Kuasa sendiri pernah meninjau kawasan Hutan Simpan Kekal Balah, HSK Gunung Stong Selatan dan HS Perias beberapa bulan yang lalu. Terbukti hasil kajian kami, terdapat pencerobohan rizab sungai, mengeruhkan sungai bekalan minuman, gangguan sensitiviti seperti pembalakan di kawasan kubur, tebangan habis di kawasan berkecerunan lebih daripada 45 darjah, berketinggian lebih 1,000 m daripda paras laut dan melibatkan kawasan hutan asli yang kaya dengan spesis flora dan fauna.

“Jelas sekali, pembalakan di sini bukannya pembalakan secara terpilih. Sebaliknya ia adalah pembalakan tebang habis (clear cutting) untuk pembukaan ladang TLC (Timber Latex Clone). Lalu apakah yang tinggal jika semuanya dimusnahkan?,” katanya.

Kini katanya, segala kemusnahan, kemudaratan dan konflik telah berlaku secara terang-terangan dan masyarakat Asli pula ditangkap kerana mempertahankan hak mereka untuk hidup, mendapatkan sumber makanan, minuman dan tempat tinggal (koridor hutan).

Dalam perkembangan terkini, orang ramai sedang berkumpul di Ibu Pejabat Polos Daerah (IPD) Gua Musang malam ini untuk menyatakan solidariti bersama Orang Asli yang ditahan sejak pagi tadi.

TAGS