Bekalan air pulih berperingkat mulai 4 petang ini

Bekalan air pulih berperingkat mulai 4 petang ini

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kerja penyenggaraan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Pencawang Bukit Badong, Hulu Selangor siap dilaksanakan mengikut jadual pada tengah malam tadi.

Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dalam kenyataan hari ini berkata loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 kini beroperasi semula sepenuhnya.

Menurutnya, pemulihan bekalan air secara berjadual akan dilaksanakan mulai 4 petang ini di semua kawasan yang terjejas di Zon 1 Gombak, Kuala Lumpur, Klang, Petaling, Kuala Selangor dan Hulu Selangor.

Bekalan air bantuan akan dihantar melalui lori tangki air ke zon yang masih mengalami gangguan bekalan air kerana paras air rendah di kolam takungan air.

Kenyataan itu berkata pengguna boleh memohon bantuan bekalan air dengan menghantar SMS ke 15300 dengan menaip: TANKER Nama dan Alamat.

Maklumat terkini mengenai gangguan bekalan air boleh dirujuk sama ada di laman www.syabas.com.my, aplikasi telefon pintar ‘mySyabas’, Facebook ‘Air Selangor’ atau Twitter ‘air_selangor’, menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Korporat TNB Datuk Roslan Ab Rahman berkata Pencawang Masuk Utama (PMU) di Bukit Badong itu diaktifkan semula setelah kerja-kerja senggaraan dan pemasangan sistem perlindungan arka selesai.

“Ia selesai dalam tempoh 16 jam seperti yang dirancang dan pemeriksaan menyeluruh telah dibuat sebelum diaktifkan.

“Loji-loji rawatan air yang tidak dapat dibekalkan elektrik kerana ketidakserasian dengan voltan set jana kuasa bergerak turut mula menerima bekalan sepenuhnya pada 12.35 tengah malam tadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Roslan berkata bekalan bagi penduduk di sekitar PMU tidak terjejas berikutan elektrik disalurkan menerusi 28 set jana kuasa bergerak.

“Seramai 120 warga kerja terlibat dengan kerja penyenggaraan ini, bagi memastikan ia dapat dilakukan dengan teratur, cermat dan selamat,” katanya.

PMU tersebut diberhentikan mulai pukul 8 pagi semalam bagi membolehkan pelaksanaan penyenggaraan demi kepentingan pengguna dan kelangsungan bekalan air.

Katanya, kerja-kerja tersebut tidak boleh ditangguhkan lagi berikutan risiko besar kepada bekalan elektrik dalam tempoh yang lama jika percikan arka berlaku.

TAGS