Tawar bekas penagih kerja di ladang Felda bagi kurangkan buruh asing

Tawar bekas penagih kerja di ladang Felda bagi kurangkan buruh asing

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Seramai 1,000 bekas pelatih Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) terpilih ditawarkan bekerja dalam sektor perladangan untuk tempoh dua tahun di 20 kawasan ladang Felda dan Felda Global Venture (FGV).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim berkata peserta yang merupakan bekas penagih yang dipulihkan itu akan ditempatkan secara berperingkat di ladang berkenaan menerusi Program Minyak Sawit Untuk Kehidupan (OPAL) bermula pertengahan Mac ini.

Pemilihan peserta dibuat mulai bulan ini menerusi program jelajah ke Pusat Penyembuhan, Rawatan dan Pemulihan (CCRC) di seluruh negara, katanya.

“Inisiatif OPAL ini memberi peluang kedua kepada bekas penagih untuk membina kehidupan dan secara tidak langsung juga membantu mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing,” katanya pada sidang media mengenai pelaksanaan program OPAL, di Putrajaya hari ini.

Razali berkata kumpulan pertama membabitkan 50 bekas pelatih akan ditempatkan di ladang Felda Serting, Negeri Sembilan dengan bayaran gaji minima RM900, selain diberikan kemudahan asrama dan pengangkutan.

Selain menjalankan kerja ladang, peserta turut mengikuti program kerohanian, motivasi dan kaunseling bagi menyediakan peserta untuk berdikari dalam masyarakat sepanjang tempoh dua tahun itu, katanya.

Razali berkata jumlah peserta akan ditambah secara berperingkat dan berharap pelbagai syarikat swasta turut membuka peluang pekerjaan kepada bekas pelatih dari AADK dan sektor industri yang lain.

TAGS