Bekas  Speaker Dun Johor meninggal dunia

Bekas Speaker Dun Johor meninggal dunia

Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor Datuk Mohd Ali Hassan meninggal dunia di Hospital Pakar KPJ Johor awal hari ini akibat masalah jantung.

Menantu Allahyarham, Kamarul Shahriman Kamaruddin, 41, berkata bapa mentuanya disahkan meninggal dunia pada 2.30 pagi oleh doktor.

“Saya menerima panggilan daripada ibu mentua pada 1 pagi tadi mengatakan bapa mentua mengalami semput dan kesukaran bernafas.

“Saya dan isteri, Zarina, (anak sulung Allahyarham) terus bergegas dari rumah kami di Kempas, di sini, ke rumah Allahyarham,” katanya ketika ditemui di kediaman Allahyarham  di Taman Nong Chik, hari ini.

Kamarul Shahriman berkata mereka sekeluarga kemudian terus membawa Mohd Ali ke Hospital Pakar KPJ Johor kira-kira 1.30 pagi lalu dimasukkan ke Unit Kecemasan hospital berkenaan bagi rawatan.

Beliau berkata bapa mentuanya kemudian disahkan meninggal dunia pada 2.30 pagi akibat masalah jantung.

Mohd Ali, 79, meninggalkan isteri Misbah Sakat, 67, dua anak lelaki dan dua anak perempuan serta 11 cucu.

Menurut Kamarul Shahriman, keadaan kesihatan bapa mentuanya mula merosot selepas Aidilfitri baru-baru ini dan ada mengadu beliau berasa lemah dan sukar bernafas sehingga menyebabkan gangguan tidur serta hilang selera makan.

Beliau berkata, bapa mentuanya itu pernah dimasukkan ke Hospital Pakar KPJ Johor pada 4 Jun lepas berikutan serangan jantung dan paru-paru berair sebelum dibenarkan keluar hospital, seminggu sebelum menyambut Aidilfitri.

“Sepatutnya Allahyarham juga hendak ke hospital hari ini, namun, tidak sempat. Mengikut jadual, beliau juga sepatutnya menjalani pemeriksaan jantung di Institut Jantung Negara, bulan depan,” katanya.

Kamarul Shahriman berkata jenazah bapa mentuanya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh, di sini, 10 pagi ini.

Allahyarham berpengalaman luas dalam bidang politik termasuk pernah memegang jawatan pengerusi Majlis Agama Islam Johor dari 1989 hingga 1990 selain menjadi speaker Dun Johor dari 2004 hingga 2013.

Antara yang hadir menziarahi jenazah Allahyarham ialah Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor Datuk Noh Gadut dan Speaker DUN Johor Tan Mohamad Aziz.

TAGS