Bekas Tok Batin Temuan tiada locus standi untuk saman kerajaan Selangor

Bekas Tok Batin Temuan tiada locus standi untuk saman kerajaan Selangor

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa seorang bekas Tok Batin daripada suku kaum Temuan dan dua anak lelakinya tidak mempunyai locus standi (hak di sini undang-undang) untuk menyaman kerajaan Selangor dan empat pihak lagi bagi deklarasi untuk menuntut kembali tanah Orang Asli.

Berikutan keputusan panel tiga hakim, saman sivil yang difailkan oleh Malam anak Gerchang, 72, dan dua anak lelakinya, Dewi, 56, dan Jafrin, yang memohon untuk mengisytiharkan 17,900 ekar tanah sebagai penempatan rizab Orang Asli itu ditolak.

Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh, yang mempengerusikan panel berkenaan, berkata berdasarkan keterangan, ketiga-tiga lelaki itu tidak mempunyai locus standi untuk memulakan tindakan undang-undang bagi pihak kaum Temuan.

Panel itu sebulat suara menolak rayuan ketiga-tiga mereka dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Feb tahun lepas bahawa mereka tidak mempunyai locus standi untuk membawa tindakan undang-undang terhadap responden.

Hakim Mohd Zawawi berkata sungguhpun mahkamah bersimpati dengan mereka berikutan masalah yang dihadapi, mahkamah tidak boleh membuat keputusan yang memihak kepada mereka berdasarkan fakta dan keterangan kes itu.

Beliau berkata berdasarkan keterangan, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Hashim Hamzah tidak terkhilaf dalam keputusannya yang mewajarkan campur tangan Mahkamah Rayuan.

Beliau memerintahkan perayu supaya membayar kos RM10,000. Bersidang bersama beliau ialah Hakim Datuk Varghese George Varughese dan Datuk Abdul Rahman Sebli.

Malam, Dewi dan Jafrin menyaman kerajaan Selangor, Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Langat, syarikat perlombongan pasir Kumpulan Semesta Sdn Bhd, pengarah Tanah dan Galian Selangor dan pihak berkuasa negeri Selangor, bagi memohon deklarasi bahawa tanah di Mukim Tanjung Duabelas di Selangor yang diisytiharkan sebagai Rizab Hutan Utara Kuala Langat adalah tanah rizab Orang Asli.

Ketiga-tiga mereka memfailkan saman itu bagi pihak kira-kira 4,000 penduduk Orang Asli di Mukim Tanjung Duabelas yang turut memohon perisytiharan bahawa tanah itu kepunyaan suku kaum Temuan.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili ketiga-tiga mereka memberitahu pemberita saman itu ditolak berikutan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa anak guamnya tidak mempunyai locus standi untuk mengemukakan saman.

Beliau bagaimanapun berkata beliau menerima arahan daripada anak guamnya untuk membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan.

Terdahulu, Mohamed Haniff Khatri berhujah bahawa Malam masih Tok Batin yang sah selaras dengan amalan tradisi, adat, budaya dan kepercayaan suku kaum Temuan serta mempunyai hak untuk membawa tindakan undang-undang bagi pihak masyarakat Orang Asli suku Temuan.

Penasihat Undang-undang negeri Selangor Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman mewakili kerajaan Selangor, Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Langat, Pengarah Tanah dan Galian dan pihak berkuasa Selangor pula berhujah bahawa Malam menandatangani surat peletakan jawatan sebagai Tok Batin pada 2005 dan seorang Tok Batin baharu dilantik dalam tahun sama.

TAGS