Belasungkawa buat Pak Jabit

Belasungkawa buat Pak Jabit

“Di mana ada Suhaimi Said, di situ ada Pak Jabit,” gurauan rakan-rakan mengenai hubungan akrab Pak Jabit dengan Allahyarham Haji Suhaimi Said.

Saya mengenali Allahyarham Abd Kadir@L.Mankadir Shamsi atau nama glamournya Pak Jabit, 68, sejak arwah aktif sebagai aktivis Pas, 25 tahun lalu.

Era reformasi menyerlahkan dokongan beliau terhadap idolanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kelibat arwah bersama Haji Suhaimi Said berada di mana-mana.

Saya bersama mereka berdua dalam taskforce (badan petugas) Felda Kerajaan Selangor. Sewaktu saya mengetuai Lajnah Pembangunan Tanah dan Orang Asal Pas Pusat, Haji Suhaimi pula menjawat Pengerusi Biro Felda & Orang Asal PKR. Tentu sekali, Pak Jabit ialah orang kanannya.

Kami bergerak seiringan ke merata Felda dan program… ceramah, dialog, ke mahkamah, Suhakam, laporan polis, himpunan dan lain-lain.

{loadposition myposition}

Bila Haji Suhaimi Said meninggal dunia, Pak Jabit amat bersedih hati.

Dia pernah luah, mana ada orang segigih Suhaimi Said. Dengan ‘kereta buruknya’ (bahasa arwah) bersama Kak Hendon (isteri Haji Suhaimi) jelajah satu Malaysia…

Mereka berdua sanggup berkampung berhari hari di penempatan Orang Asli, yang saya sendiri tidak mampu lakukan.

Seronok juga dengar arwah sembang mengenai dunia lakonan. Saya tanya, pembangkang macam dia ada juga pengarah filem ambil (berlakon).

Dia kata, Mamat Khalid (selalu ambil dia berlakon) OK. “Alhamdulillah, dah rezeki kat situ…”

Arwah wujudkan grup Whatsapp ‘Sembang Warong Pak Jabit’, pujuk dan invite saya. Rakan facebook dengan nama Ngah Kadir. Tiap-tiap hari update status yang sifatnya tajam dan berterus terang. Komen bagai-bagai, tapi dia layan je…

Saya kehilangan seorang lagi rakan sehebat Haji Suhaimi Said. Banyak kenangan bersamanya.

Insya Allah, jika demam selsema dan batuk-batuk saya reda, saya nak ziarah keluarga dan pusaranya sehari dua ini.

Moga arwah ditempatkan di kalangan orang yang beriman.

Al-Fatihah.

CATEGORIES
TAGS