Benarkah BN bantah SPR, soal MP Segambut

Benarkah BN bantah SPR, soal MP Segambut

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Bantahan terhadap cadangan persempadanan semula SPR tidak tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi. Justeru, saya ingin melihat bukti bantahan rasmi BN kepada SPR di negeri-negeri yang ditadbir pembangkang dan ketiga-tiga Wilayah Persekutuan.

“Saya sedikit sukar mempercayai kata-kata Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Mansor kerana tidak kelihatan pun mana-mana pemimpin BN di tiga negeri ditadbir parti pembangkang mahupun di tiga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya di mana-mana saluran media, baik tradisional atau media sosial, menyampaikan bantahan sebelum tarikh tutup,” kata Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng dalam satu kenyataan hari ini.

Tengku Adnan Mansor telah mengumumkan bahawa Barisan Nasional (BN) telah mengarahkan supaya semua kerajaan negeri ditadbir BN untuk mengemukakan bantahan rasmi terhadap cadangan persempadanan semula Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sebelum tarikh tutup pada hari Jumaat lalu. Beliau juga menyebut bahawa di negeri-negeri yang tidak ditadbir BN, mereka akan mendapatkan seramai 100 pengundi untuk mengemukakan bantahan kepada SPR.

Menurut Lim, Presiden MCA Liow Tiong Lai, serta Presiden Gerakan Mah Siew Keong telah mengkritik langkah SPR yang didakwa sebagai “mendorong ke arah menjadi negara teokrasi”, “menyebabkan usaha Gerakan dalam mendekati pengundi menjadi sia-sia”. Liow juga telah “mengarahkan semua bahagian untuk membuat bantahan kepada SPR dalam masa terdekat”.

“Sekiranya gagal untuk menunjukkan bukti bantahan mereka, BN ternyata merupakan parti yang terdiri daripada penipu dan hipokrit yang hanya mementingkan kekayaan dan kepentingan sendiri sahaja,” katanya.

Menurutnya, bagi kawasan-kawasan parlimen di Kuala Lumpur pula, adakah Ku Nan telah mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk mengemukakan bantahan kepada SPR atau 100 tandatangan pengundi telah digunakan untuk memfailkan bantahan? Adakah Umno bahagian Lembah Pantai memfailkan sebarang bantahan terhadap 6,598 pengundi pos baru dari Bukit Aman yang dipindahkan ke kawasan itu di bawah cadangan SPR?

“Atau adakah MCA Bandar Tun Razak membantah pemindahan 6,684 pengundi di kawasan majoriti pengundi Cina di Taman Connaught ke Cheras? Jika ada bantahan rasmi terhadap SPR dibuat oleh BN di KL, media wajar dijemput untuk membuat liputan hujah-hujah mereka di pendengaran bantahan di SPR,” katanya.

BN katanya, tidak perlu berasa malu untuk mengaku bahawa mereka tidak mampu mengumpul 100 pengundi untuk membuat bantahan di negeri-negeri pembangkang dan Kuala Lumpur. Walaupun tarikh tutupnya sudah berakhir Jumaat lalu, BN masih mempunyai beberapa usaha yang boleh dilakukan untuk menghalang cadangan SPR.

“Ahli parlimen bangku belakang BN boleh mengemukakan usul tergempar di parlimen minggu depan untuk membahaskan kesan-kesan negatif perkauman akibat persempadanan semula SPR.

“Kabinet BN juga boleh membuat keputusan untuk membatalkan cadangan SPR ini sepertimana yang mereka lakukan 11 tahun lalu untuk menolak cadangan Suruhanjaya Diraja Polis untuk menubuhkan Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) bagi memastikan disiplin pasukan polis,” katanya.

TAGS