Benarkah bukan Melayu, bukan Muslim tidak layak jadi pemimpin?

Benarkah bukan Melayu, bukan Muslim tidak layak jadi pemimpin?

Allah Swt melalui firmanNya didalam surah ke _60, Al-Mumtahanah ayat 8:”Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”

Ini bermakna tidaklah menjadi kesalahan orang bukan muslim itu dilayan seadilnya selagi mereka tidak memerangi agama Islam. Juga dalam huraian ayat tersebut memberi maksud muslim tidak pernah ditegah sama sekali untuk memberi layanan yang baik kepada mereka yang bukan muslim.

Menurut Dr. Yusuf Al-Qaradawi dalam bukunya Fiqh Daulah Menurut Perspektif Islam, mengikut syarak tiada suatu pun dalil yang melarang yang namanya muslim untuk mengambil teori ilmiah serta penyelasaian amali yang datangnya dari bukan muslim.

Lihat saja dalam peperangan _Badar_ bagaimana tawanan perang yang mempunyai kebolehan membaca dan menulis diberikan ruang untuk mengajar anak-anak orang muslim sekalipun mereka musyrik.

Didalam pengkisahan perang Khandak, Nabi Muhammad SAW sendiri mendengar pandangan untuk menggali parit yang merupakan antara stratergi perang orang Parsi.

Ini kerana hikmah merupakan sesuatu (barang berharga) yang hilang daripada umat Islam. Dimana sahaja dia menjumpainya maka dialah orang yang paling berhak dan layak dengannya.

Ayat 8 dalam surah _al-Mumtahanah_ dipermulaan tulisan penulis boleh menjawab tentang persoalan pada tajuk perbincangan diatas.

Selain memberi layanan yang adil kepada bukan muslim dalam pelbagai aspek, adil yang dimaksudkan juga boleh diterjemah dengan kesanggupan perkongsian kuasa diantara muslim dan bukan muslim. Keberadaan mereka didalam dewan parlimen atau pun dewan undangan negeri bagi konteks politik Malaysia, ia adalah perlu untuk mereka menjadi wakil kepada suara rakyat dibawah.

Ini juga adalah jalan untuk mereka terus merasakan mereka adalah sebahagian dari sistem negara yang mereka menjadi warganegaranya yang sah mengikut lunas undang-undang dalam perlembagaan. Khuatir dengan kesenjangan kesatuan yang masih samar kewujudannya hari ini, bila-bila masa saja usaha ini mampu dieksploitasi musuh perpaduan dan kemanusiaan.

Dalam kita menjustifikasi kemunasabahan orang bukan melayu dan bukan muslim diberi ruang menjadi pemimpin, jangan pula kita lupa melihat corak kepimpinan yang ditonjolkan oleh kelompok melayu dan muslim. Apakah dengan kita mempertahankan pemimpin melayu yang korup itu menjadi jaminan nasib melayu dan muslim akan terus terbela?

Pada 9 Januari 1975, New Straits Times melaporkan pendirian Peguam Negara, Tan Sri Abdul Kadir Yusof berkaitan rasuah yang melibatkan pegawai kerajaan. Beliau menyatakan setinggi mana pun kejujuran pegawai-pegawai kerajaan masih belum mampu memberi jaminan perlakuan rasuah itu tidak akan berlaku. Tan Sri Abdul Kadir Yusof berpandangan selagi mana ada yang sanggup memberi sogokan kejujuran pegawai kerajaan bila-bila masa saja boleh terlebur.

Sarjana yang menjadi rujukan dunia Islam, Al-Ghazali menyatakan kerosakan itu merebak dari atas hingga kebawah. Begitulah kontradiknya pandangan dan amalan di antara pemikir hebat dunia dan pemimpin Melayu muslim yang dari dulu beriman dengan pandangan seperti bekas peguam negara itu.

Maka perdebatan yang kian rancak hari ini adalah perbicaraan andai berlaku pertembungan antara calon pemimpin muslim dan bukan muslim atau melayu dan bukan melayu. Ada yang dari awal naratif politiknya berkisar tentang melayu dan muslim dominan
dalam pengertian diktator, pasti alergi dengan perbincangan seperti diatas.

Ada pihak yang pada awalnya memperkenalkan terma ‘tahaluf siyasiy’ akhirnya mereka sendiri mencabut akar semata untuk ‘bertaawun’ atas prinsip kepentingan agama dan bangsa.

Inilah ragam fikir yang harus didepani untuk melihat karamah insaniah dimartabatkan. Akan ada cabaran hebat dari gerombolan yang ekstrim dalam hidup bermasyarakat. Itu bukanlah sesuatu yang mustahil.

Iktibar yang ditunjukkan oleh pelbagai figur sama ada muslim atau bukan, sama ada melayu atau bukan adalah cabaran untuk dipenuhi bersama. Anjakan pemikiran dan perlakuan tidak bisa statik jika mahu melihat negara maju dan sejahtera.

Jika tidak kita akan hidup dibawah penindasan ala zaman kolonial, cuma yang beda watak dan galur penjajah tersebut. Jangan kita hanya merdeka fizikal tetpi mental masih terkurung dan terpenjara.

CATEGORIES