Bentang RUU selepas belanja bajet tambahan hina Dewan, kata Rafizi

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Amalan kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang Belanjawan Tambahan hanya selepas peruntukan tambahan dibelanjakan perlu dihentikan segera kerana ia menghina Dewan Rakyat, kata Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Dalam satu kenyataan media lewat petang ini, Naib Presiden PKR itu berkata, menjadi satu penghinaan kepada Dewan Rakyat apabila Perdana Menteri dan Menteri Kewangan seolah-olah melihat Dewan Rakyat sebagai ‘rubber stamp’.

Menurut beliau, amalan meluluskan peruntukan tambahan yang telah dibelanjakan telah berlarutan sejak sekian lama dan perlu dihentikan segera.

“Oleh itu saya akan mengkaji undang-undang sedia ada dan Peraturan Dewan Rakyat untuk mempertimbangkan memfailkan satu tindakan di Dewan Rakyat agar amalan ini dihentikan serta-merta.

“Ada dua bentuk tindakan yang boleh dipertimbangkan iaitu memfailkan Rang Undang-Undang Persendirian atau memfailkan usul supaya Peraturan Dewan Rakyat atau akta sedia ada dipinda untuk menghalang amalan meluluskan peruntukan tambahan setelah dibelanjakan.

“Saya akan memfailkan tindakan ini di dalam sidang Dewan Rakyat Jun 2016,” katanya.

Rang Undang-Undang Belanjawan Tambahan 2015 dibentangkan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong 21 Mac lalu dan akan dibahaskan di dalam sidang Dewan Rakyat sesi ini.

TAGS