Benteng beg pasir tangani fenomena air pasang besar – Nadma

Benteng beg pasir tangani fenomena air pasang besar – Nadma

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Benteng beg pasir akan dibina di beberapa kawasan pesisir pantai di Selangor dan Kedah bagi menghadapi fenomena air pasang besar yang dijangka melanda Pantai Barat Semenanjung pada pertengahan bulan ini.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Datuk Zaitun Ab Samad berkata pembinaan benteng itu sebagai langkah segera memastikan air laut tidak masuk ke kawasan daratan khususnya kawasan penempatan penduduk.

“Nadma, JUPEM (Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia) dan JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) telah mengenal pasti kawasan pesisir pantai yang perlu dibina benteng beg pasir itu.

“Kerja pembinaan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat sebelum fenomena air pasang besar berlaku,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Forum Kesiapsiagaan Agensi Menghadapi Bencana serta Pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2016 peringkat Perak di sini hari ini.

Menurutnya, pembinaan benteng beg pasir itu akan dilaksanakan secara perkongsian bijak dengan melibatkan agensi kerajaan, swasta serta pertubuhan bukan kerajaan.

Zaitun berkata pembinaan benteng itu juga dilihat mampu mengatasi masalah banjir di beberapa negeri sebelum ini kerana terdapat beberapa ban yang pecah sehingga air laut melimpah ke kawasan sekitar.

“Ini kerana terdapat banyak ban yang lama telah mendap disebabkan tidak mampu menampung ombak besar dan limpahan air laut.

“Bagaimanapun, untuk jangka masa panjang, kerajaan akan membaiki semula ban-ban yang pecah atau lama ini secara berperingkat kerana ia melibatkan kos yang agak besar,” katanya.

Sementara itu, Zaitun berkata kerajaan telah mengisytiharkan Oktober ini sebagai Bulan Kesiapsiagaan Bencana dan pelbagai aktiviti kesedaran masyarakat telah dirangka untuk memenuhi tema bulan berkenaan.

“Kami mengambil inisiatif dengan menggandakan aktiviti seperti forum untuk pendedahan kepada rakyat mengenai apa yang mereka harus tahu dan perlu lakukan ketika menghadapi bencana,”katanya.

TAGS