Beralih dari ‘orang minyak’ kepada industri kreatif, saran ahli ekonomi

Beralih dari ‘orang minyak’ kepada industri kreatif, saran ahli ekonomi

Malaysia harus mempelbagaikan sumber pendapatan dengan tidak terus terlalu bergantung kepada industri sawit dan petroleum.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Malaysia harus mempelbagaikan sumber pendapatan dengan tidak terus terlalu bergantung kepada industri sawit dan petroleum.

Dr Yusof SaariPensyarah kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Yusof Saari berkata, usaha Korea Selatan dalam memajukan industri kreatif boleh dicontohi.

“Kita ini ‘orang minyak’. Kita masih bergantung pada minyak iaitu sawit dan petroleum. Kalau lembap dua ini, itu yang kita terjejas.

“Kenapa ramai orang kita pergi Korea sampai peniaga di sana faham cakap Melayu? Sebab industri kreatif seperti filem dan pelancongan maju di sana.

“Korea buat pelaburan pada industri kreatif bermula dengan (filem) Winter Sonata,” ujarnya dalam Diskusi Awam bertajuk “Laporan Keadaan Isi Rumah Negara: Di Mana Kita?” di ibu negara malam tadi.

Beliau berkata, Malaysia sebenarnya mengalami masalah struktur serta tidak konsisten daripada segi pelaksanaan polisi sehingga menyebabkan berlaku peningkatan kos barangan makanan walaupun harga minyak turun.

“Struktur kita bermasalah. Kenapa harga makanan tidak turun padahal harga minyak turun? Kita memerlukan perubahan struktur. Buatlah subsidi sana, sini, masalah (peningkatan kos sara hidup) tidak berubah,” jelasnya dalam program anjuran Sekolah Demokrasi itu.

Mengulas lanjut, Dr Yusof memberitahu peningkatan pendapatan isi rumah tidak seiring dengan Indeks Harga Pengguna (IHP) iaitu ukuran bagi kenaikan purata harga barangan dan perkhidmatan.

Menyentuh tentang laporan pendapatan isi rumah dibentangkan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) baru-baru ini, beliau berkata, laporan berkenaan perlu mengambil gambaran lebih komprehensif termasuk tentang pendapatan boleh guna.

“Sepatutnya ikut negeri dan ikut kumpulan isi rumah. Contohnya, walaupun pendapatan di Kuala Lumpur jauh lebih meningkat tetapi kos hidup di Kelantan lebih murah. Jurang pendapatan di Kuala Lumpur besar. Perkara ini tidak diberi perhatian.

Bagi rekod Perak di tangga kedua pendapatan isi rumah berpendatan bawah RM6,000, beliau berpendapat aspek pengagihan adalah lebih baik di negeri itu berbanding Terengganu, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Sebenarnya itu petanda baik, daripada satu sudut, itu positif, bukan miskin,” tambah Dr Yusof lagi dalam forum di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) itu.

Turut menjadi panel Ketua Biro Penyelidikan IKRAM, Prof Dr Mohd Nazari Ismail yang juga pensyarah ekonomi di Universiti Malaya (UM); Pengarah Kajian KRI, Dr Muhammad Abdul Khalid serta Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong. 

TAGS