Berembun di Jalan Parlimen bantah kenaikan harga minyak

Berembun di Jalan Parlimen bantah kenaikan harga minyak

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Dingin Kuala Lumpur jam 4 pagi tadi dilihat tidak menggugat sekumpulan anak muda untuk terus bertahan di Jalan Parlimen.

Tinjauan Malaysia Dateline mendapati lebih 10 anggota sayap Pemuda Pakatan Harapan termasuk aktivis mahasiswa ‘berembun’ di lokasi yang sinonim dengan amalan demokrasi berperlembagaan di negara ini.

Mereka tidak berganjak dalam usaha memberi mesej kepada kerajaan membantah kenaikan harga petrol dan diesel biarpun didatangi penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjelang tengah malam tadi.

Arahan penguatkuasa terbabit supaya khemah diturunkan dipatuhi tetapi tidak menghalang untuk mereka meneruskan protes di kawasan yang dikawal ketat pihak Bukit Aman itu.

Sebaliknya, binaan khemah yang diturunkan menjadi pengalas aktivis berbaring dan melelapkan mata seketika untuk mengumpul sedikit tenaga bagi aksi pagi ini.

Antaranya, Setiausaha Dapsy Selangor Mohammad Firdaus Babh dan aktivis mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Asheeq Ali Sethi Alivi serta beberapa anggota Biro Keselamatan dan Kebajikan (ARiF) AMANAH.

Terdapat juga aktivis NGO yang memetik gitar sambil menyanyikan lagu ‘Buruh Tani’ bersama Setiausaha Pengelola Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ahmad Syukri Razab.

Pada masa sama, dari papan tanda Jalan Parlimen, dapat dilihat anggota polis turut berkampung menuju ke perkarangan bangunan yang menjadi tempat perbahasan Ahli Parlimen itu.

Selanjutnya, menyahut kewajipan sebagai hamba-Nya, Pengarah Komunikasi AMANAH Kedah, Ustaz Ridzwan Abu Bakar mengimamkan sembahyang Subuh pada ketika kenderaan warga kota mulai menjalar di jalan raya.

Khemah yang mula didirikan diturunkan semula menjelang tengah malam atas arahan DBKL.

Sany Hamzan (bertopi) bersama Ustaz Ridzwan berbual manakala seorang anggota ARiF dari Gombak sedang menjamah makanan.

Petikan gitar lagu Buruh Tani memecah seketika keheningan awal pagi.

Setiausaha Dapsy Selangor Mohammad Firdaus Babh antara Pemuda Pakatan Harapan yang berkampung protes kenaikan harga minyak.

Anggota polis mengawal laluan masuk ke bangunan Parlimen sepanjang malam tadi.

Sebungkus nasi lemak antara makanan pengalas perut ketika berkampung di Jalan Parlimen.

Ustaz Ridzwan yang baharu tiba dari Kedah tidur seketika bersama beberapa peserta protes bantah kenaikan petrol.

Peserta protes terdiri daripada pelbagai kaum yang terkesan dengan kenaikan berterusan harga minyak.

Ustaz Ridzwan Abu Bakar mengimamkan sembahyang Subuh di Jalan Parlimen.

Solat Subuh di Jalan Parlimen pada hari pertama aksi protes bantah kenaikan harga minyak.

 

CATEGORIES