Berhentilah perasan diri suci

Berhentilah perasan diri suci

Himpunan aman Wanita Bantah Politik Toksik adalah acara yang melibatkan semua wanita tanpa mengira latar agama, latar status sosial dan latar pemikiran.

Asalkan wanita, mereka dialu-akukan menyertainya. Tujuannya, membantah sebarang pemikiran dan aksi diskriminasi terhadap wanita dalam semua segmen kehidupan.

Acara ini selari dengan saranan Islam yang sentiasa memuliakan semua insan termasuk wanita, yang sering dieksploitasi oleh golongan berkepentingan untuk memenuhi selera nafsu mereka.

Sekurang-kurangnya, acara ini menjadi platform untuk menyatukan suara dan pendirian wanita Malaysia untuk mendepani pelbagai cabaran semasa dan mendatang yang semakin rencam dan rumit.

Siapa pun mereka, wanita adalah insan yang Allah muliakan. Jika ada dalam kalangan mereka yang berbeza dengan kita dalam beberapa hal, termasuk gaya berfikir dan cara hidup, mereka tak boleh dikesampingkan atau dihina.

Siapa pun mereka, mereka wajib disantuni dengan baik, dilayani gaya fikir mereka dengan hujah yang mencerahkan, bahkan dihormati idea dan saranan mereka. Mereka adalah insan, Bani Adam.

Hanya orang yang berasa dirinya suci saja yang melihat kelompok wanita lain yang tidak sealiran dengan dirinya sebagai kelompok yang tak layak dihormati dan dilayani dengan baik.

Murni sangatkah Islam kamu, wahai orang yang berasa dirinya suci sehingga kamu berani mempersoalkan keislaman orang lain? Orang itu liberalis, orang ini avengalis, kelompok itu pencinta LGBT, kelompok ini anti Islam? Hanya kamu saja Islamis tulen?

Apa gunanya kamu jadi sabun kalau tidak mampu menyucikan orang lain? Apa gunanya kamu wangi kalau tidak berupaya mewangikan orang lain?

Jika kamu rasa diri kamu suci, ayuh turun ke medan, sucikan orang yang kamu anggap kotor itu. Bukan menempek dan melalak, kamu orang kotor, kamu liberalis, kamu LGBT…hanya kami Islamis, apa hasilnya?

Sudahlah kamu tidak mendekati mereka, kamu fitnah pula mereka. Dan, kamu fitnah mereka ketika kepala kamu berlitup kopiah, atau berbelit serban atau bertudung labuh sebagai lambang kesucian diri kamu, kononnya.

Hakikatnya, orang seperti kamulah yg mencemar kemuliaan Islam, menconteng arang ke wajah murni Islam, melontar najis ke jasad mulia Islam, tanpa kamu sedari.

Orang seperti kamu, yang perasan dirinya suci bukan penyebar Islam, tetapi pembina tembok penghalang penyebaran Islam. Kamu rasa diri kamu suci, padahal kamulah pemikul najis yang mengotorkan kemurnian Islam.

Kepada wanita yang komited dengan acara Wanita Bantah Politik Toksik, teruskan komitmen anda, kerana anda sedang menyebarkan kebaikan utk kesejahteraan insan. Anda sudah berjaya. Apa kejayaan itu?

Ya, kejayaan menyingkap topeng kepalsuan yang membalut wajah mereka yang berasa diri mereka suci, kononnya merekalah Islamis sejati. Ini kejayaan besar untuk umat ini, kerana anda berjaya menyelamatkan umat ini daripada terus tertipu dengan topeng agama yang mereka pakai.

Tanpa mengira apa agama anda, apa bangsa anda, apa jalur fikir anda, apa parti anda, sekalung tahniah untuk wanita yang memberi komitmen menjayakan acara Wanita Bantah Politik Toksik. Seribu tahniah!

Zolkharnain Abidin ialah Pengarah Hal Ehwal Syariah, Parti Amanah Negara (AMANAH)

CATEGORIES
TAGS