Beri hak Orang Asli tuntutan Islam, bukan hanya RUU 355, kata wakil Kelantan

Beri hak Orang Asli tuntutan Islam, bukan hanya RUU 355, kata wakil Kelantan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Mengajak rakyat menyokong pindaan akta 355 diwar-warkan sebagai tuntutan Islam dan perintah Allah, malangnya bila berhadapan isu tuntutan mesyarakat Orang Asli, kehendak Islam diketepikan.

Naib Pengerusi Amanah Kelantan, Ustaz Che Ibrahim Mohamad yang mengemukakan pandangan itu menganggap layanan buruk terhadap komuniti ini jelas bertentangan dengan ajaran Islam.

“Mereka hanya meminta pihak kerajaan tidak membenarkan pembalakan dan pembukaan ladang komersil di sekitar kawasan mereka duduki.

“Bukan di semua tempat di Kelantan,” katanya ketika membahaskan usul membela hak Orang Asli dan Alam sekitar yang dibawa oleh Angkatan Wanita (Awan) di Konvensyen Nasional Amanah di Shah Alam pagi ini.

Menurutnya apa yang sedang terjadi sekarang di Kelantan hampir semua kampung-kampung Orang Asli kini dihimpit oleh kegiatan membalak dan pembukaan ladang komersil.

“Ini menyebabkan kesusahan benar-benar menjadi kenyataan kepada masyarakat itu malah paling kritikal apabila sumber keperluan asas termasuk air bersih semakin berkurangan.

“Inilah sebab sebenar mereka semakin berani membuat tuntutan termasuk mendirikan sekatan (blokade) bagi menentukan survival masa depan mereka,” katanya.

Dalam keadaan seperti ini katanya, mengapa kita lupakan tuntutan Islam untuk membela golongan tertindas.

“Mereka juga manusia yang berhak seperti warganegara lain, Islam menyuruh kita melayan mereka sama dan bukannya memejamkan mata terhadap kezaliman,” katanya.

 Anfal SaariManakala AJK Wanita Nasional Anfal Saari pula mengatakan usul yang dikemukakan Awan itu mengimbau penahanan 54 Orang Asli 30 November lalu di Gua Musang semata-mata mempertahankan tanah tempat tinggal mereka dari dimasuki pembalak-pembalak yang mendatangkan masalah pencemaran alam dan kerosakan tempat mereka mencari rezeki.

“Menyedari bahawa Orang Asli berhak untuk menuntut hak mereka ke atas tanah adat dan alam sekitar terutama sungai yang merupakan elemen terpenting dalam kehidupan mereka sebagai sumber bekalan air, makanan dan tempat tinggal, Awan mengusulkan lima desakan,” katanya yang mengemukakan usul berkenaan bagi pihak Awan.

Pihak konvensyen katanya, mendesak kerajaan Kelantan mengkaji semula dan mencadangkan sempadan tanah adat orang asli dalam mengekalkan kehidupan asal mereka yang bergantung sepenuhnya dengan sumber alam.

“Kita juga mahu Kelantan yang mendapat legitimasinya atas nama Islam untuk patuh kepada ajaran Islam untuk membela golongan daif.

“Kelantan juga didesak menggugurkan semua tuduhan ke atas Orang Asli berkaitan dengan tindakan blokade dan mengadakan segera perbincangan dan perundingan dengan Orang Asli,” katanya.

Beliau akhirnya mendesak kerajaan negeri Kelantan menghentikan corak pembalakan yang memusnahkan habitat kehidupan liar dan juga sumber rezeki Orang Asli.

TAGS