Beri isyarat kepada rakyat supaya tolak parti mesra BN

Beri isyarat kepada rakyat supaya tolak parti mesra BN

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pakatan Harapan mesti memberi isyarat kepada rakyat agar menolak parti yang tidak mahu bersama-sama mereka menentang Umno Barisan Nasional (BN).

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Salahuddin Ayub berkata, rakyat mesti diberi isyarat bahawa parti yang tidak mahu bersama-sama dalam Pakatan Harapan adalah parti yang mahu bersama Umno BN.

“Jika kita mahu menang dan sampai ke Putrajaya ada satu syarat iaitu satukan tenaga untuk jatuhkan BN dalam PRU akan datang.

“Parti yang tak mahu bersatu dalam Pakatan Harapan kita kena hantar isyarat kepada rakyat merekalah yang bersama Umno,” katanya ketika berucap dalam program Ceramah Kemuncak Setahun Amanah di Dewan Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, malam tadi.

Beliau berkata demikian dipercayai merujuk kepada Pas yang enggan bekerjasama dalam Pakatan Harapan dalam mencapai matlamat satu lawan satu pada pilihan raya umum ke-14.

Beliau sebelum itu berkata, Pas dahulu mempunyai kekuatan di peringkat akar umbi dan mempunyai cawangan yang banyak khususnya di Kelantan.

Namun selepas parti itu keluar daripada Pakatan Rakyat, ia dilihat semakin lemah dan hilang sokongan.

“Parti sejarah saya, dulu kuat di akar umbi, ada cawangan yang banyak khususnya di Kelantan tapi bila kita berseorangan kita tak akan menang,” katanya.

Beliau dalam pada itu merakam ucapan penghargaan kepada DAP dan PKR yang telah banyak memberi sokongan dan dorongan kepada kelahiran Amanah sehingga mencapai umur setahun.

“Saya minta kita memberi penghargaan yang sebanyaknya kepada PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun beliau terpenjara tapi mesej yang disampaikan begitu bermakna buat kita.

“Kita menyatakan terima kasih kepada DAP, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng yang memberi dokongan kepada Amanah.

“Tanpa bantuan mereka dan NGO yang bersama kita seperti Bersih Amanah tak boleh sampai kepada definisi hari ini,” katanya.

TAGS